Penyelidik UKM dan FGV R&D Jalin Kerjasama Penyelidikan


Oleh Asmahanim Amir
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 21 Februari 2017 – Penyelidik Institut Biologi Sistem (INBIOSIS), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bekerjasama dengan penyelidik Felda Global Ventures (FGV) Research and Development (R&D) Sdn Bhd dalam menjalankan penyelidikan tentang pencegahan penyakit kelapa sawit.

Projek penyelidikan berimpak tinggi itu bertajuk “Development of stimulatory microbial metabolites and optimization of beneficial microbes against Ganoderma: Towards understanding the plant-diseases interaction and improved control protocols.”

Naib Canselor, Prof Dato’ Seri Dr Noor Azlan Ghazali berkata kajian yang dijalankan itu melibatkan pembangunan pencetus biotik dan antibiotik yang berpotensi untuk meningkatkan penghasilan metabolit mikrob berfaedah dan sekaligus menghasilkan ejen biokawalan dan biobaja yang berpotensi untuk dikomersilkan.

“FGV R&D Sdn Bhd memperuntukan dana sebanyak RM150,000 untuk tempoh dua tahun bagi projek kerjasama ini.

“Di pihak UKM, projek ini diketuai oleh Dr Syarul Nataqain Baharum yang merupakan Ketua Pusat Bioteknologi Tumbuhan dan Pusat Analisis dan Teknologi Genom, untuk menjalankan kajian metabolomik menggunakan Metabolomics Module yang telah dibangunkan oleh kumpulan metabolomik INBIOSIS,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada majlis Pertukaran Dokumen Perjanjian Kerjasama Penyelidikan dan Pembangunan serta Menandatangani Plak Makmal Kolaboratif antara UKM dengan FGV R&D Sdn Bhd di sini, hari ini.

Beliau berharap kerjasama penyelidikan lain yang akan melibatkan lebih ramai lagi penyelidik kedua-dua pihak akan menyusul, kemudian.

“Mobiliti penyelidik kedua-dua pihak dan juga pelajar adalah antara aktiviti berimpak yang perlu diberi perhatian.

“Saya percaya melalui teknologi pelantar yang ditawarkan oleh INBIOSIS terutama dalam bidang metabolomik akan dapat menyumbang secara signifikan dan dapat memberi impak dalam bentuk penyelesaian masalah utama perladangan kelapa sawit terhadap jangkitan penyakit,” katanya.

Prof Dato’ Seri Dr Noor Azlan berkata bentuk kerjasama itu membolehkan UKM terus menyalurkan kepakaran sumber manusia dan teknologi untuk membangunkan sektor utama industri.

“Saya harap kerjasama penyelidikan ini dapat dimanfaatkan juga oleh penyelidik-penyelidik UKM yang lain menerusi projek-projek penyelidikan yang baru serta perkhidmatan prasarana penyelidikan yang optimum antara kedua-dua pihak,” tambahnya.