Penyelidikan Nanopartikel Cendawan Susu Rimau Rawat Kanser Payudara Menang Anugerah Khas Tech Plan Demo Day


Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim

KUALA LUMPUR, 23 Mei 2018 – Penyelidikan nanopartikel menggunakan cendawan susu rimau bagi merawat kanser payudara yang dilakukan oleh Prof Madya Dr Haliza Katas bersama syarikat Lignas Bio Synergy telah berjaya memenangi Anugerah Khas di Tech Plan Demo Day in Malaysia baru-baru ini.

Prof. Madya Dr. Haliza, pensyarah di Fakluti Farmasi UKM berkata, nanopartikel emas yang dihasilkan bersama pasukannya dengan menggunakan ekstrak cendawan tersebut berpotensi untuk digunakan sebagai agen merawat kanser payudara.

“Melalui teknologi nano, rawatan kanser payudara boleh diberi melalui terapi transdermal setempat.  Selain itu, merawat kanser payudara, pendedahan ubat ke keseluruhan badan adalah tidak perlu, walau bagaimanapun, buat masa sekarang rawatan kimoterapi yang kita ada hanyalah secara oral (makan) atau melalui suntikan ke dalam darah,” katanya.

Beliau berkata, kaedah itu menyebabkan kesan sampingan yang teruk dan turut menyebabkan pesakit merasa tidak selesa termasuklah penampilan yang berubah.

“Ini menyebabkan ada antara mereka (pesakit) yang enggan untuk menerima rawatan.  Jadi, kami mencuba dengan idea untuk membangunkan terapi transdermal setempat untuk menghantar nanopartikel ke sel kanser payudara.

“Memang sudah ada kajian menunjukkan bahawa cendawan susu rimau boleh membunuh sel kanser termasuk sel kanser payudara. Sebab itulah kami nak menggunakan cendawan ini untuk melihat kesannya,” katanya.

Katanya lagi, beliau mereka bentuk nanopartikel supaya rawatan boleh dibuat melalui kulit sahaja.

“Kami berharap kajian ini dapat mengurangkan kesan sampingan berbanding rawatan kanser payudara yang dilakukan sekarang.

“Inilah idea yang telah dibentangkan semasa pertandingan tersebut bersama Lignas Bio Synergy,” jelas beliau.

Katanya, beliau akan menjalankan kajian lanjut tentang potensi cendawan susu rimau dengan mengaplikasi teknologi nano dalam merawat pelbagai penyakit.

“Geran yang saya terima sebelum ini adalah untuk merawat luka diabetis. Sekarang kami ingin melihat potensi nanopartikel ini dalam merawat kanser payudara,” jelasnya.

Dengan kemenangan itu, sebuah syarikat dari Jepun, JT Company telah menunjukkan minat dengan idea menggunakan cendawan tersebut dan telah membawa sampel kajian untuk diuji.

“Jika berjaya, saya berharap akan ada kerjasama yang lebih baik dalam meluaskan lagi penyelidikan ini,” katanya.