Penyelidikan Perubatan Capai Penerbitan Impak Tinggi UKM

Medical Research Disclosures Top UKM’s High-Impact PublicationsOleh Asmahanim Amir
Foto PPUKM

KUALA LUMPUR, 16 April 2015 – Kajian Metabolisme Tulang, Jantung dan Enzim Stres telah banyak menyumbang dari segi geran penyelidikan dan penerbitan impak tinggi di Universiti Kebangsaan Malaysia.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat, Prof Dr Imran Ho Abdullah berkata para penyelidik dari dalam dan luar UKM perlu teruskan  menyebar penemuan penyelidikan mereka di peringkat global.

Berucap pada perasmian Persidangan Antarabangsa ke-2 Kemajuan dalam Sains Perubatan (ICAMS) 2015 di sini semalam, Prof Imran menyatakan ICAMS memberi peluang kepada para penyelidik dari semua institusi.

“Saya bangga dengan tiga kumpulan penyelidikan iaitu Metabolisme Tulang, Kardiovaskular dan Enzim Stres kerana telah banyak menyumbang dari segi geran penyelidikan dan penerbitan impak tinggi di UKM,” kata beliau.

Ketika melakukan penyelidikan, sudah tentu penyelidik tahu tentang masalah yang hendak dikaji dan mereka memerlukan ‘kenalan’ untuk mendapatkan bahan kajian.

“Umpamanya, kita berada di kawasan yang mencatatkan kes Denggi yang tinggi. Mungkin kita boleh lakukan penyelidikan berkenaan isu Denggi kerana ia adalah masalah utama di kawasan kita.

“Penyelidik dari Fakulti Perubatan, Ekonomi, Sains Sosial, Teknologi Maklumat dan Kementerian Kesihatan serta masyarakat setempat perlu berganding bahu dalam melaksanakan penyelidikan ini (denggi) supaya hasil yang kita dapat adalah menyeluruh,” ujar beliau.

Prof Imran menyeru supaya mereka perlu lebih berdisiplin dalam melaksanakan tugas ini kerana mereka melalui cabaran yang besar untuk hasilkan penyelidikan yang berkualiti.

“Saya pasti persidangan ini akan membuka pintu kepada penyelidik pada masa hadapan. Sains perubatan sentiasa memerlukan penyelidikan yang berkesan untuk pilihan terapi lebih baik,” katanya.

Sementara itu, Naib Canselor Universiti Antarabangsa INTI Prof Datuk Dr Rahmah Mohamed dalam ucaptamanya berkata hasil kajian menunjukkan bahawa generasi (gen) ‘Y’ dan ‘Z’ adalah generasi muda yang sangat rapat dengan media sosial.

“Mereka sentiasa berhubungan dengan media sosial. Bila saya melihat kajian yang saya lakukan melalui tinjauan, saya dapati dunia ini sangat bagus. Kita mempunyai pemimpin seperti kamu (gen Y dan Z) yang sangat berpengaruh dalam melakukan penyelidikan,” katanya.

Prof Rahmah, yang bidang kajian beliau lakukan adalah Genom, menerangkan Genom merupakan set lengkap DNA hidupan. Setiap Genom mengandungi semua maklumat yang diperlukan untuk membina organisma dan membenarkan ia untuk membesar dan berkembang.

“Anda faham tentang struktur DNA melalui pembacaan buku teks tetapi sekarang ia diperoleh melalui asas molekul biologi yang mengubah ruang bagaimana anda melakukan penyelidikan barah, membangunkan vaksin untuk menyerang jangkitan penyakit, bagaimana anda menangani obesiti dan bagaimana anda menangani molekul baru dalam ubat-ubatan,” beliau menjelaskan.

Prof Rahmah berkata kemajuan penyelidikan perubatan dalam beberapa dekad kebelakangan ini membenarkan manusia hidup lebih lama dengan meningkatkan kualiti hidup berbanding hanya beberapa generasi sebelum ini.

“Pencapaian utama dalam penyelidikan adalah penyusunan Genom yang membawa kepada pembangunan terapi dan ubat-ubatan baru, dan klasifikasi perubatan berasaskan profil genetik pesakit,” katanya.

Beliau berkata dalam usaha penyelidik untuk berkhidmat kepada masyarakat secara berkesan, penyelidik perlu membangunkan beberapa pendekatan iaitu menjalankan penyelidikan merangkumi bio-perubatan yang berkualiti tinggi, peluang-peluang kerjasama antarabangsa, menyampaikan hasil penyelidikan dengan pantas dan menjalinkan perhubungan rapat dengan masyarakat.

Lebih 100 peserta dari dalam dan luar UKM termasuk dari luar negara membentangkan kertas kerja masing-masing di ICAMS 2015 yang diadakan selama tiga hari bermula 14 April 2015.
ukmnewsportal-bm