Peranan Lebih Aktif Bagi MPN Dalam Pembangunan Negara

More Active Role of Professors In The Country’s Development.jpg1Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Abd Ra’ai Osman

BANGI, 20 Mac 2015 – Majlis Profesor Negara (MPN) yang mempunyai kepakaran khas cerdik pandai dalam negara bersetuju berperanan lebih aktif dalam perangkaan dasar-dasar negara.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Prof Datuk Dr Raduan Che Rose berkata ia boleh memberi khidmat nasihat profesional kepada kerajaan mengenai langkah-langkah yang perlu diambil dalam pelbagai bidang.

“Kita perlukan keyakinan kerajaan dengan memberi syor untuk diserahkan kepada kabinet. Kita juga tidak harus membuat syor semata-mata tanpa melakukan susulan.

“Saya tidak pasti 100% cadangan yang kita buat dilaksanakan kerajaan. Kita perlu mengemaskinikan kerangkaan itu,” katanya dalam suatu pertemuan dengan pemimpin dan profesor dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini hari ini.

Mereka telah berbincang beberapa isu termasuk peranan MPN sebagai hati nurani negara.

Prof Raduan bagaimanapun memberi jaminan bahawa kerajaan sentiasa menghargai cadangan mereka ketika menjawab soalan apakah pandangan dan pendapat mereka diendahkan kerajaan.

Prof Raduan, yang juga Setiausaha Agung MPN, berkata MPN ditubuhkan untuk membantu kerajaan mentadbir negara kerana terdapat cukup kepakaran di kalangan tenaga pengajar akademik di semua universiti awam dalam negara untuk bertindak sebagai pencetus idea.

Dalam pada itu MPN mahu berdikari menjadi pakar runding kepada industri dalam pelbagai bidang profesional supaya kurang bergantung pada dana awam.

MPM telah ditubuhkan sebagai sebuah syarikat awam pada bulan Disember 2014 dan kini bertindak sebagai ‘Pemikir Negara’.

Sebelum itu, dalam kata-kata aluannya Naib Canselor UKM Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali menyaran MPN menggunakan kepakarannya untuk membantu menyelesaikan isu-isu ekonomi dan pendidikan.

Prof Noor Azlan berkata dengan 14 kluster dan keahlian  230 orang profesor adalah sesuai ia mengambil peranan lebih luas dalam pentadbiran negara.

Beliau juga berkata, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2015-2025, berupaya memberi keseimbangan dalam bidang akademik dan sahsiah.

Prof Noor Azlan berkata pelbagai inisiatifnya juga akan membantu graduan universiti tempatan lebih berdaya saing, kreatif serta inovatif.

Turut hadir dalam pertemuan itu ialah Timbalan Setiausaha Agung MPN Prof Dr Kamaruddin M. Said.
ukmnewsportal-bm