Peranan Peguam Korporat Semakin Signifikan Berbanding Dahulu – Prof Akira Saito


Oleh Melissa Heidi
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 9 Mei 2017 –  Urusan perjanjian perniagaan yang semakin kompleks, dalam konteks perniagaan antarabangsa menjadikan peranan peguam korporat sebagai lebih signifikan berbanding dahulu, kata Prof Akira Saito dari Kobe Universiti, Jepun.

Beliau bekata diversiti dalam masyarakat Asia telah menghasilkan pelbagai peluang untuk menjalinkan urus niaga yang saling menguntungkan, sehingga peguam perniagaan di Asia perlu bergerak secara progresif dan efisien, selari dengan perkembangan perubahan Persekitaran Perniagaan Antarabangsa.

“Peguam perniagaan memainkan peranan yang amat penting dalam mempromosikan perintah kontrak dengan mengurangkan Kos Transaksi untuk mencapai kontrak yang boleh dipercayai.

“Kos Transaksi adalah konsep utama yang menjelaskan tentang mengapa bantuan undang-undang dan peguam diperlukan untuk menggalakkan urus niaga dalam dunia sebenar,” katanya semasa menyampaikan syarahan bertajuk ‘Kos Transaksi Untuk Mengurangkan Konflik di Dunia Sebenar’ di Fakulti Undang-Undang, baru-baru ini.

Tambahnya, peguam memainkan peranan yang amat penting untuk memajukan proses perdagangan dengan membantu membuat kontrak standard.

Siri Syarahan Lawatan Profesor dengan tema ‘Pendidikan Undang-Undang Dalam Globalisasi Pasaran Masyarakat’ ini, adalah anjuran Pusat Pendidikan dan Profesion Undang-Undang (CELPRO), Fakulti Undang-Undang (FUU), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama Azmi & Associates.

Siri syarahan yang dihadiri oleh pelajar tahun akhir FUU UKM turut menampilkan peguam dari Azmi & Associates iaitu Norhisham Abd Bahrain.