Perbincangan Meja Bulat Budapest Bincang Isu Keselamatan Saiber dengan Kerjasama Antarabangsa


Oleh Asmahanim Amir
Foto oleh Abd Raai Osman

BANGI, 9 Feb 2018 – Kemajuan zaman digital mencabar tanggapan konvensional tentang keselamatan.

Demikian menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Sri Azalina Dato’ Othman Said, semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian High Level Round Table Discussion on Budapest Convention on Cybercrime, di UKM, baru-baru ini.

“Sifat ruang siber yang tanpa sempadan, tanpa nama, kompleks dan saling berhubungan menimbulkan cabaran yang belum pernah terjadi kepada kerajaan dan pihak berkepentingan,” katanya

Beliau berkata atas dasar keselamatan, Kerajaan Malaysia menubuhkan Mahkamah Siber Khas untuk menilai dan melupuskan kesalahan jenayah siber.

“Mahkamah Siber Khas ini telah memulakan operasi di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sejak 1 September 2016.

“Mahkamah juga akan diperluaskan ke negara-negara lain yang mencatatkan jumlah kes jenayah siber paling tinggi secara berperingkat,” katanya.

Selain itu, Malaysia terlibat dalam suatu perjanjian multilateral – Konvensyen Budapest – untuk menangani jenayah yang dilakukan melalui Internet dan rangkaian komputer lain dan kesalahan tradisional yang dilakukan melalui sistem komputer.

Konvensyen Budapest adalah usaha untuk menubuhkan dasar jenayah yang melindungi masyarakat terhadap jenayah siber dengan menggunakan langkah-langkah perundangan yang sesuai melalui kerjasama antarabangsa.

Berikutan hal tersebut, suatu Perbincangan Meja Bulat Peringkat Tinggi telah diadakan

Beliau berharap agar Perbincangan Meja Bulat Peringkat Tinggi itu akan memberi panduan kepada penyelesaian kes jenayah siber yang rumit dan yang paling penting, cadangan mengenai penyelesaian undang-undang, teknikal dan pentadbiran yang sesuai untuk dipertimbangkan oleh kerajaan.

“Oleh itu, Perbincangan Meja Bulat ini boleh menjadi platform untuk menilai keserasian undang-undang, faedah dan impak kepada kita dan tentu sahaja cabaran dan kebimbangan yang disetujui oleh Konvensyen Budapest,” katanya.

Turut hadir pada majlis itu ialah Naib Canselor, Prof. Tan Sri Dato’ Seri Dr Noor Azlan Ghazali, Timbalan Ketua Misi Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur, Dean Thompson dan Ketua Bahagian Cybercrime, Majlis Eropah, Alexander Segar.