Perdana Menteri Lawat HCTM


Oleh Asmahanim Amir
Foto Shahiddan Saidi dan Izwan Azman

CHERAS, 23 Feb 2018 – Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak mengadakan lawatan ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) baru-baru ini.

Dalam lawatan tersebut, beliau telah melancarkan ADAM50 (Amanah Dana Anak Malaysia) iaitu bayi yang lahir pada 1 Januari 2018 hingga 31 Disember 2022 akan menerima tabung permulaan sebanyak RM200 menerusi unit Amanah Saham Nasional Bumiputera.

ADAM50 ialah inisiatif khas yang telah dibentangkan dalam bajet 2018.

Selepas melancarkan ADAM50, Dato’ Seri Mohd Najib melawat wad bersalin dan menyerahkan sijil ADAM50 berserta hamper kepada ibu-ibu yang baru malahirkan anak.

Beliau turut beramah mesra dengan kakitangan dan pesakit yang sedang menunggu untuk mengambil ubat di Farmasi HCTM.

Turut hadir pada program itu ialah Pengerusi Permodalan Nasional Berhad, Tan Sri Abdul Wahid Omar, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Tan Sri Dr Noorul Ainul Mohd Nur dan Naib Canselor UKM, Prof Tan Sri Dato’ Seri Dr Noor Azlan Ghazali.