Perjuangan Tinta Emas UKM 50 Tahun


Oleh Aini Hidayah Abdul Hadi dan Asmahanim Amir

BANGI, 18 Mei 2020 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang meraikan jubli emas hari ini berbangga kerana selepas 50 tahun penubuhan, universiti ini telah melahirkan lebih 200,000 graduan yang telah melakar kejayaan dalam pelbagai bidang.

Prof. Emaratus Dato’ Dr. Ibrahim Komoo adalah antara graduan awal UKM, merupakan pakar Geologi bukan sahaja di kenali di Malaysia malah nama beliau telah terlakar di persada antarabangsa.

Bercerita tentang UKM, katanya beliau berbangga kerana UKM telah mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu diperingkat tinggi.

“Semasa saya belajar disini bermula pada tahun 1972, hampir 100 peratus pengajaran dan pembelajaran adalah dalam Bahasa Melayu, dan ketika itu pensyarah yang mengajar Geologi kebanyakannya berasal dari luar negara, dan mereka mengajar kami menggunakan Bahasa Melayu.

“Saya tak sangka pada masa itu sebuah universiti boleh mengajar dalam Bahasa Melayu. Mereka (pensyarah) sangat taksub mencari istilah Bahasa Melayu, walaupun hampir semua buku rujukan pada masa itu adalah dalam Bahasa Inggeris,” katanya.

Beliau berkata walaupun UKM memperjuangkan Bahasa Melayu, beliau berharap untuk tempoh 50 tahun akan datang, UKM perlu mencari kelainan.

“Satu daripada kelainan yang telah pun ada tetapi tidak diperkasakan ialah kita menggunakan sistem pendidikan tinggi kebangsaan. Bila saya sebut sistem pendidikan tinggi kebangsaan, tidak bererti 100 peratus dalam Bahasa Melayu, tetapi fasih dan berkesan dalam menggunakan pelbagai bahasa ilmu yang lain.

“Ini penting dipertahankan untuk 50 tahun akan datang. Jangan kita mengejar ke hadapan, tetapi kita kehilangan sistem pendidikan tinggi kebangsaan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian pada Bicara Jubli Emas: 50 Tahun UKM Perjuangan Tinta Emas yang dianjurkan buat pertama kali secara atas talian melalui aplikasi zoom dan disiarkan secara langsung di Facebook rasmi UKM sempena Sambutan Jubli Emas UKM.

Ahli panel jemputan yang lain ialah Prof. Dato’ Sri Dr. Syed Arabi Syed Abdullah Idid, Prof. Dato’ Dr. Mohamad Abdul Razak dan Prof. Datin Paduka Dr. Jawiah Dakir.

Sementara itu, Prof. Dato’ Sri Dr. Syed Arabi Syed Abdullah berkata perkembangan UKM semasa awal penubuhannya adalah sangat mencabar, tetapi univeristi ini telah berjaya mengharungi semua cabaran tersebut.

Beliau percaya bahawa UKM mampu menjadi antara sepuluh universiti yang terbaik di dunia pada 50 tahun yang akan datang dan menjadi sebuah universiti yang melihat bangsa sebelum bahasa dan negara.

“Nama UKM juga telah dibawa ke serata dunia melalui program penyelidikan di luar negara seperti yang dijalankan oleh Institut Islam Hadhari UKM dengan kerjasama Kyoto Universiti, Jepun dengan menubuhkan Center for Hadhari Islamic Civilizational Studies,” katanya.

Bagi Prof. Dato’ Dr. Mohamad Abdul Razak yang merupakan antara graduan sulung Fakulti Perubatan, penubuhan Fakulti Perubatan selepas tiga tahun penubuhan UKM adalah sesuatu yang sangat luar biasa.

“Kebiasaannya bagi universiti yang baharu, ia mengambil masa lebih kurang sepuluh tahun selepas ditubuhkan untuk menubuhkan Fakulti Perubatan, tetapi tidak bagi UKM.

“Walaupun pada ketika itu kami mempunyai kesuakaran kerana tidak ramai pensyarah yang boleh mengajar dalam Bahasa Melayu, tetapi itu semua tidak mustahil. Alhamdulillah, selepas 47 tahun penubuhan Fakulti Perubatan, UKM telah menghasilkan lebih 11,000 doktor pakar di Malasyia dan kita (UKM) adalah universiti yang paling ramai lahirkan pakar perubatan,” katanya.

UKM bukanlah calang-calang universiti. Sepanjang tempoh 50 tahun penubuhan, UKM telah melahirkan Profesor wanita dalam bidang Hadis yang pertama di Malaysia iaitu Prof. Datin Paduka Dr. Jawiah.

Prof. Datin Paduka Dr. Jawiah merupakan graduan ijazah pertama, ijazah kedua (Sarjana) dan ijazah kedoktoran dari UKM dan fasih berbahasa Arab.

“Walaupun saya belajar di UKM menggunakan Bahasa Melayu, tetapi saya boleh berbahsa Arab dan saya juga turut menterjemah buku-buku ke Bahasa Arab. Apa yang saya nak tekankan disini adalah dalam memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu, UKM juga telah berjaya melahirkan graduan yang fasih dalam bahasa ilmu yang lain,” katanya.

Beliau berkata untuk mengekalkan kedudukan UKM sebagai lima universiti awam terbaik di Malaysia, semua warga UKM memainkan peranan dalam memastikan UKM berada di atas.

Beliau juga mengingatkan bahawa tujuan UKM ditubuhkan adalah untuk berkhidmat kepada masyarakat, maka semangat berkhidmat untuk UKM perlu ada agar dapat berjuang untuk masyarakat.

Dalam tempoh 50 tahun, UKM telah mencapai pelbagai kejayaan yang luar biasa. Malah, dalam krisis pandemik Covid-19 yang sedang dilalui ini juga, UKM mampu menangani masalah sesi pembelajaran yang terjejas dengan menjalankannya melalui atas talian supaya para pelajar tidak tercicir.

Bicara Jubli Emas ini menerima sambutan yang menggalakkan daripada warga UKM dan juga orang ramai apabila jumlah tontonan di aplikasi zoom dan Facebook live mencecah 1,200 penonton. Ini menunjukkan semangat warga UKM dan juga masyarakat dalam meraihkan 50 tahun UKM.