Perkukuhkan Sosial Ekonomi Islam

1
Oleh Radzuan Ghazali
Foto  Ikhwan Hashim

KUALA LUMPUR, 24 Ogos 2016 – Malaysia perlu meneroka dan memperkukuhkan potensi segmen sosial dalam sistem ekonomi Islam bagi memperkasakan umat Islam di negara ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Dato’ Dr. Asyraf Wajdi Dato’ Dusuki berkata, Malaysia adalah peneraju kepada segmen komersial ekonomi Islam yang bersifat menjana keuntungan dengan memperkenalkan Bank Islam, skim Takaful dan Lembaga Urusan Tabung Haji (LUTH).

Beliau berkata, kejayaan menguasai segmen sosial secara hoslitik dan kompehensif akan menjadikan Malaysia sebagai pelopor utama ekonomi Islam.

“Malaysia menggunakan kerangka kewangan Islam bermula tahun 1960an lagi dan sejak itu, Malaysia menjadi panduan kepada negeri-negeri dunia yang berminat untuk menceburi bidang berkenaan.

“Kini, sudah tiba masanya negara meneroka lagi segmen yang tidak kurang besar faedahnya iaitu wakaf, zakat, sedekah, skim pinjaman dan dana awam, yang boleh dimanfaatkan secara betul jika mampu dilaksanaka,” kata beliau ketika ditemui selepas merasmikan Persidangan Kebangsaan Ekonomi dan Kewangan Islam ke-3 di Dewan Utama, Institut Antarabangsa Kajian Tinggi Islam (IAIS), Petaling Jaya, baru-baru ini.

Hadir sama, Bekas Perdana Menteri Malaysia Ke-5, Tun Abdullah Ahmad Badawi, Timbalan Naib Canselor (Hal-ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) , Prof Datuk Noor Aziah Mohd Awal dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif IAIS, Prof Madya Dr Mohamad Azam Mohamed Adil dan Pengerusi seminar, Dr Muhamad Hakimi Shafiei.

Persidangan sehari tersebut adalah anjuran bersama Ekonis UKM, Institut Islam Hadhari UKM, IAIF, JAKIM dan INCIEF dengan kira-kira 45 kertas kerja dari pelbagai aspek dibentangkan.

Senator Dato’ Dr. Asyraf Wajdi seterusnya menggesa rakyat Malaysia supaya terlibat secara langsung dalam penjaanaan ekonomi dengan memanfaatkan kemudahahan media sosial ketika berhadapan dengan ketidaktentuan ekonomi dunia.

Katanya, setiap individu boleh terlibat secara langsung dalam penjanaan ekonomi iaitu memanfaatkan digital ekonomi  kerana semua orang kini sudah mempunyai telefon bimbit dan aktif dalam media sosial.

Terdahulu, Prof. Datuk Noor Aziah dalam ucapannya berkata, kerjasama dalam pelbagai bidang berkaitan akademik khususnya Ekonomi dan Kewangan Islam adalah penting untuk kepentingan sejagat.

Katanya, kerjasama seumpama ini amat dialu-alukan kerana ia memberi manfaat positif kepada agama, bangsa dan negara yang perlu dikembangkan kepada semua institusi agama kerana instrument zakat dan wakaf adalah di bawah tanggungjawab Majlis Agama Islam Negeri-negeri.ukmnewsportal-bm
2

3