PERMAJ UKM Bantu Promosi Daerah Pontian

Oleh Farah Ismi
Foto Persatuan Mahasiswa Anak Johor

BANGI, 27 Januari 2017 – Persatuan Mahasiswa Anak Johor (PERMAJ), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) membantu masyarakat Daerah Pontian mempromosikan daerah tersebut, melalui program Jalajah Operasi Khidmat Masyarakat Johor 2017 (JOMJOHO)

Ketua Pengarah Program, Nuramira Kamarudin berkata PERMAJ mengambil inisiatif daripada program tersebut untuk mempromosikan daerah Pontian kepada mahasiswa yang menyertai program tersebut termasuk masyarakat luar.

“Seramai 130 mahasiswa UKM menyertai program ini dan mereka ditempatkan bersama 33 buah keluarga dari dua kampung iaitu Kampung Sungai Buntu dan Kampung Penerok, Mukim Ayer Masin, Pontian.

“Kebanyakan yang menyertai program JOMJOHO 2017 ini terdiri daripada mahasiswa yang berasal dari Negeri Johor dan ada juga mahasiswa dari beberapa negeri lain,” katanya.

Beliau berkata program yang berlangsung selama empat hari bermua 14 Januari lepas telah dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti seperti Karnival Kesenian Budaya dan program berbentuk pendidikan.

Beliau berharap agar program itu dapat membentuk mahasiswa yang memiliki jati diri, berkepimpinan dan bertanggungjawab dalam masyarakat serta menghargai nilai kesenian negeri Johor khasnya.

“Khidmat masyarakat yang dianjurkan juga diharap mampu menjadi pencetus kepada nostalgia zaman kegemilangan kerajaan Johor suatu masa dahulu dan mampu memberi inspirasi kepada mahasiswa untuk terus memperkukuhkan semangat patriotik dan nilai kemasyarakatan dalam diri masing-masing,” ujarnya.

Program tersebut telah dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Kukup, Suhaimi Salleh.