PERMATApintar Menang Dua Pingat Emas di ITEX 2017


Oleh Melissa Heidi
Foto Izwan Azman

BANGI, 22 Mei 2017 – Dua pasukan penyelidik muda dari Pusat PERMATApintar Negara, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah memenangi pingat emas pada pertandingan World Young Inventor Exhibition (WYIE) dalam International Technology Exhibition 2017 (ITEX) yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) baru-baru ini.

Loo Qiao Ning dan Natalie Sze-Lyn Thiagarajah memenangi pingat emas melalui kajian dan inovasi bertajuk Replacing Estradiol-17 with Organic All Plants Proteins, manakala Ivan Te Wei Jun, Afif Farhat Ariff Ong dan Oh Juin Chuen mendapat pingat emas melalui kajian Gravitational Potential Phone Charger.

Replacing Estradiol-17 with Organic All Plants Proteins adalah kajian berkenaan dengan pemisahan dan pengumpulan kandungan vitamin daripada sumber protein tumbuhan untuk menggantikan Estradiol-17 yang merupakan salah satu bahan yang boleh mendorong mutasi DNA dalam binatang dan juga manusia.

“Kami telah berkolaborasi dengan pelbagai fakulti di UKM dan kajian ini sebenarnya memerlukan jangka masa yang panjang.

“Namun, kami berjaya menghasilkannya dengan bantuan tenaga pengajar, rakan-rakan dan pihak universiti yang telah menyediakan kemudahan yang kondusif untuk kami menjalankan penyelidikan ini,” kata Loo Qiao Ning.

Beliau berkata sebelum berjaya, pasukannya telah mengalami kegagalan, namun kegagalan itu telah membawa kepada penghasilan penyelidikan yang sempurna dan bernas, sekaligus mempunyai nilai kebolehpasaran yang tinggi.

Gravitational Potential Phone Charger yang turut memenangi pingat emas pada ITEX 2017 adalah kajian tentang penggunaan tenaga elektrik berasaskan graviti yang menggunakan pemberat untuk mengeluarkan tenaga kinetik.

Ia adalah inovasi tentang cara pengunaan elektrik yang bersikap mesra alam untuk mengecas telefon pintar.

Sementara itu, Naib Canselor UKM, Prof Dato’ Seri Dr Noor Azlan Ghazali berkata penyelidikan itu bersifat product based research yang mengaplikasikan pendidikan secara competition based learning.

“Hasil penyelidikan ini akan diterbitkan dalam bentuk bahan akademia dan kesarjanaan, yang akan digilap dan diberi paten, seterusnya membawa hasil penyelidikan itu kepada pasaran,” katanya.

Pertandingan WYIE adalah pertandingan antarabangsa yang melibatkan semua negara di dunia yang mempertandingkan hasil rekacipta dan hasil kajian inovatif masing-masing.

Dalam pertandingan itu, dua lagi pasukan Pusat PERMATApintar UKM telah memenangi pingat Perak melalui kajian The Potential of Acimum Basilicum as a Repellent dan Banana Peel and Bamboo Fiber Plant-Leather.