Permintaan Kerja Melibatkan STEM Semakin Tinggi – Menteri KPM

dsc_3448-custom

Oleh Asmahanim Amir
Foto Ahmad Shahiddan Saidi

Permintaan terhadap bidang kerja yang melibatkan elemen Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) adalah jauh lebih tinggi berbanding bidang lain.

Demikian menurut Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahadzir Khalid semasa menyampaikan ucapan pada Program Perkhemahan Bitara STEM ExxonMobil – UKM di Sekolah Menengah Seri Pekan di sini baru-baru ini.

Beliau berkata bidang STEM mampu meningkatkan daya saing dalam bidang pembangunan teknologi selaras dengan Dasar Ekonomi Negara yang berasaskan pengetahuan dan ekonomi yang berteraskan sains dan teknologi.

Berikutan perkara tersebut, Program Perkhemahan Bitara STEM ExxonMobil – UKM, menurut Datuk Seri Mahadzir, dilihat sebagai suatu inisiatif yang dapat membantu dalam memberi kesedaran kepada para pelajar untuk memilih bidang STEM dan seterusnya meningkatkan kedudukan negara untuk subjek Sains dan Matematik.

“Gabungan kepakaran UKM dan sumbangan CSR ExxonMobil yang diberikan untuk bidang pendidikan mampu menyemarakkan dan membudayakan elemen Sains, Teknologi, dan Inovasi dalam kalangan masyarakat khususnya pelajar sekolah,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Hal-ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat, Prof. Dato’ Dr. Imran Ho Abdullah berkata UKM sentiasa menyokong penuh perkongsian kepakaran universiti serta pembangunan program sains dan teknologi bagi memberi ruang dan peluang keterlibatan pelajar sekolah dalam bidang STEM selain memupuk minat mereka untuk memilih bidang STEM.

“Mereka (pelajar sekolah) adalah generasi pelapis dan penentu masa depan negara.

“Kita harap lebih ramai lagi pelajar akan memilih bidang STEM yang merupakan bidang masa depan dalam menetukan kemajuan sesebuah negara,” katanya.

Program Perkhemahan Bitara STEM ExxonMobil – UKM adalah kolaborasi bersama antara UKM, ExxonMobil dan Kementerian Pedidikan Malaysia.

dsc_3369-custom dsc_3648-custom