Permintaan Tinggi Untuk Alumni Perakaunan UKM

1
Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 25 Ogos 2015 – Beberapa alumni Perakaunan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah memegang jawatan tertinggi di Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM) dan ini menunjukkan bahawa graduan Perakaunan UKM mendapat permintaan tinggi.

Akauntan Negara Malaysia merangkap ahli Alumni Perakaunan UKM, Dato’ Che Pee Samsudin berkata terdapat beberapa alumni Perakaunan UKM yang memegang jawatan tertinggi di JANM termasuklah Timbalan Akauntan Negara (Operasi) dan Timbalan Akauntan Negara (Korporat).

“Selain itu, pengarah-pengarah bahagian di JANM juga majoritinya adalah graduan dari UKM. Saya percaya di jabatan-jabatan berkanun yang lain pun ramai daripada graduan UKM yang memegang jawatan kanan. Ini menunjukkan pencapaian cemerlang yang telah dilahirkan oleh UKM,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada majlis Hi-Tea Perakaunan UKM di sini pada 22 Ogos lepas.

Beliau berkata JANM mempunyai Pusat Pembangunan Perakaunan yang dipertanggungjawabkan untuk menganjurkan kursus-kursus profesional, etika kerja dan menggalakkan penyelidikan-penyelidikan yang melibatkan pensyarah-pensyarah universiti.

“Jadi dengan adanya Pusat Pembangunan Perakaunan, kita harap semua akauntan yang berada atau bertugas di JANM dapat meningkatkan kemahiran daripada kursus-kursus professional supaya mereka tidak ketinggalan,” katanya.

Katanya beliau berharap agar program-program perakaunan di universiti-universiti dapat mengambil kira pemiawaian kemahiran ikhtisas supaya apabila graduan perakaunan bekerja kelak mereka akan memahami standard itu.

Beliau menjelaskan bahawa menjelang tahun 2020, negara memerlukan 60,000 akauntan dan buat masa ini hanya terdapat kira-kira 30,000 sahaja akauntan di Malaysia.

“Kita memerlukan tempoh empat tahun untuk mencapai lagi 30,000 akauntan. Inilah peranan yang perlu dimainkan di institusi-institusi pengajian tinggi yang mempunyai jurusan perakaunan.

“Saya harap pihak universiti dapat memenuhi kehendak pasaran sekarang. Sebab itulah setiap subjek yang diajar di universiti kena ikut standard yang ditetapkan mengikut peredaran semasa dan kehendak pasaran,” terangnya.

Katanya beliau telah berbincang dengan Presiden Institut Akauntan Malaysia (MIA) supaya MIA lebih dekat dengan universiti supaya dapat memberi pandangan-pandangan yang jelas kepada universiti.

“Dengan adanya kerjasama ini, university-universiti akan tahu kehendak-kehendak pasaran akauntan di luar sana dapat dipenuhi dan dimasukkan dalam kurikulum pengajaran dan pembelajaran.

“Hal ini kerana kita mahu jurang antara ACCA (Persatuan Akauntan Bertauliah) dan sebagainya dapat dikurangkan dan graduan-graduan kita dapat diiktiraf sebagai Akauntan Profesional,” jelasnya.

Sementara itu Pro Naib Canselor, Prof Dr Nor Ghani Md Nor berkata sokongan daripada alumni amat penting dalam membantu UKM mencapai aspirasi universiti.

“Aspirasi UKM adalah untuk terus bergerak bagi mencapai hasrat rakyat negara ini untuk mencipta masa depan anak bangsa.

“Jadi, besar harapan saya agar pihak alumni dapat membantu UKM dengan menggembeling tenaga dan menyumbang idea-idea bagi membantu universiti untuk terus menuju mercu kegemilangan. Dengan demikian, kita akan berbangga apabila dikaitkan dengan UKM,” katanya.

Beliau berkata warga alumni bukan sahaja merupakan aset intelektual universiti malah mereka adalah insan yang mempunyai peranan yang penting ke arah perkembangan yang mampan kepada universiti serta bangsa dan negara.

Majlis Hi-Tea Alumni Perakaunan UKM tersebut adalah kali ke-4 diadakan dan kali pertama adalah pada tahun 1997 yang dilangsungkan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).ukmnewsportal-bm

2

3

4

5