PKP Waktu Mengasah Bakat Pelajar Berbahasa Inggeris


Oleh Aini Hidayah Abdul Hadi
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 19 Jun 2020 – Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) telah menghadkan ramai pihak dari menjalani aktiviti rutin harian, namun ia tidak menghalang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk terus menganjurkan program secara atas talian.

Bagi mengisi masa lapang pelajar semasa tempoh PKP, Pusat CITRA UKM dengan kerjasama Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) telah menganjurkan Program MCO BI@KOLEJ iaitu pertandingan Bahasa Inggeris secara atas talian.

Pertandingan tersebut dibahagikan kepada dua kategori iaitu ‘I Speak English Everyday’ dan ‘Songwriting’ dan telah diterima baik oleh pelajar.

Dekan FSSK, Prof Dr Hazita Azman berkata, pertandingan itu adalah pengalaman baharu bagi pihak universiti dalam mengendalikan pertandingan berbahasa Inggeris secara atas talian dalam tempoh PKP kepada pelajar, sama ada pelajar itu berada di kampus, atau di rumah.

“Untuk kategori ‘I Speak English Everyday’, pelajar perlu membuat video ‘vlog’ berkaitan rutin harian mereka dalam Bahasa Inggeris setiap hari dalam tempoh seminggu mengikut kreativiti masing-masing dan memuat naik ke laman media sosial.

“Manakala, bagi kategori ‘Songwriting’ pula, peserta diberikan tema berkaitan dengan situasi semasa iaitu COVID-19 dan PKP,” katanya.

Pemenang bagi kategori ‘I Speak English Everyday’, Sinoretha Sining, pelajar Fakulti Sains dan Teknologi, mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur kerana membuka peluang kepada pelajar untuk menjadi lebih kreatif dalam tempoh PKP.

“Terima kasih kerana memberi peluang kepada kami (pelajar) untuk bertutur dalam bahasa Inggeris. Saya tidak dapat pulang ke kampung dan berada di kampus ketika itu dan dalam tempoh itu sambil mengisi masa lapang saya dengan menyertai pertandingan ini. Saya berharap pihak UKM menganjurkannya lagi pada masa akan datang,” katanya.

Bagi kategori ‘Songwriting’ pula, penyanyi duet dari FSKK, Chang Yoong Wen dan Lee Jasen yang telah mencipta lagu berjudul ‘Unsung Hereos’ telah diumumkan sebagai pemenang.

“Pertandingan ini membantu dalam menyebarkan lebih banyak informasi dan kesedaran kepada masyarakat berkaitan dengan COVID-19,” kata Lee Jasen.

Pertandingan tersebut banyak membantu pelajar dan memberi keyakinan kepada mereka untuk berbahasa Inggeris, serta memperbaiki penggunaan bahasa Inggeris sama ada secara menulis dan bertutur.

Pelajar-pelajar mengharapkan pertandingan tersebut terus diadakan sama ada dalam tempoh PKP atau di luar waktu PKP pada masa akan datang.