PM: Bahasa Melayu Dipertahankan Sebagai Bahasa Perdana

1
Oleh Asmahanim Amir
Foto Shahiddan Saidi

PUTRAJAYA, 31 Mac 2016 – Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak menegaskan bahawa kerajaan akan mempertahankan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Perdana di negara ini.

Beliau berkata walaupun kerajaan memberikan ruang kepada Bahasa Inggeris dan bahasa lain dalam sistem pelajaran teras negara, kerajaan tidak akan berganjak untuk terus menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar rasmi pendidikan di semua peringkat.

“Sebagai usaha mengembang dan memantapkan dunia keilmuan tamadun Melayu serta Bahasa Melayu, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) serta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) disaran untuk mempergiatkan usaha kerjasama dengan institusi di luar negara,” katanya ketika berucap pada Pertandingan Akhir Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri di sini pada 25 Mac lepas.

Beliau berkata bagi mengembangkan Bahasa Melayu ke peringkat antarabangsa, kerajaan telah menubuhkan beberapa Kursi Pengajian Melayu di universiti di luar negara.

Katanya, kerajaan juga turut mengadakan kolaborasi bagi mengkaji pendekatan lain untuk memperluaskan penggunaan Bahasa Melayu ke negara asing.

Katanya dalam konteks dunia pada hari ini, Bahasa Melayu telah pun diangkat sebagai salah satu daripada 10 bahasa utama dunia dan dengan angka 300 juta orang penutur, Bahasa Melayu telah diberikan darjat yang tinggi sebagai bahasa kelima terbesar di dunia.

Beliau turut memberitahu bahawa pertandingan pidato tersebut bukan hanya berbentuk pertandingan semata-mata tetapi ia adalah asas yang kukuh untuk menjadikan Bahasa Melayu bertaraf dunia supaya berkembang subur seiring dengan zaman.

Dalam pertandingan tersebut, peserta dari Jepun, Hatsune Yanai telah dinobatkan sebagai juara PABM bagi kategori Antarabangsa.ukmnewsportal-bm
2

3