PPTC UKM Terima Geran Penyelidikan dari KPT untuk Jalani Penyelidikan

3
Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim, Shahiddan Saidi

BANGI, 28 Oktober 2016 – Pusat Penyelidikan Tasik Chini (PPTC) melalui Fakulti Sains dan Teknologi (FST) UKM telah menerima banyak geran penyelidikan seperti FRGS dan LRGS daripada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bagi menjalankan penyelidikan di kawasan itu sejak ia ditubuhkan pada 2004.

Ketua PPTC UKM, Prof. Dato’ Seri Dr. Mushrifah Idris berkata geran itu digunakan sebaiknya bagi menjalankan beberapa penyelidikan di kawasan yang merangkumi flora, fauna dan komuniti orang asli.

“Melalui geran tersebut, kita menjalankan penyelidikan berkenaan dengan orang asli, kajian pemulihan kejuruteraan dan kajian tentang pemuliharaan kawasan Tasik Chini,” terangnya.

Katanya UKM mempunyai perancangan yang rapi dalam menjalankan penyelidikan di Tasik Chini.

“Untuk kedua-dua Rancangan Malaysia ke-10 dan ke-11, penyelidikan yang kita jalankan bersama ECERDC adalah berkenaan dengan pelan perlaksanaan strategik.

“Kajian itu akan dijadikan satu landasan rujukan bagi pihak-pihak seperti Majlis Daerah Pekan untuk mewartakan kawasan-kawasan penyelidikan yang dijalankan.

“Ia merangkumi proses mengenalpasti sama ada kawasan-kawasan tersebut adalah sensitif dengan alam sekitar, perlu dilindungi dan boleh digunakan untuk pembangunan tetapi secara mapan,” jelasnya. ukmnewsportal-bm