Prof Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin dilantik Sebagai Penasihat Perpaduan kepada Kementerian Perpaduan Negara


Oleh Asmahanim Amir
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 28 Julai 2020 – Pengarah Pengasas Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin dilantik sebagai Penasihat Perpaduan kepada Kementerian Perpaduan Negara (KPN).

Surat lantikan itu diserahkan kepada beliau oleh Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique selepas Majlis Menandatangi Memorandum Persefahaman (MoA) antara UKM dan KPN di Bilik Senat, Bangunan Canselori, baru-baru ini.

Prof Ulung juga turut dilantik sebagai Ketua Team Ahli Pemikir (TAP) iaitu Jawatankuasa Pemikir yang akan menyumbangkan idea dan cadangan kepada kementerian mengenai isu-isu perpaduan dan hal-hal integrasi nasional.

Menteri KPN, Datuk Halimah berkata, pelantikan Prof Ulung adalah penghormatan kepada kementerian dan ia juga adalah pengiktirafan kepada warga UKM.

Dalam perkembangan sama, KPN turut menjalinkan kerjasama bijak dengan UKM melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) yang memfokuskan kepada penyediaan empat dokumen iaitu Indeks Perpaduan Nasional (IPNas), Pelan Tindakan Perpaduan Negara (PTPN), Pendidikan Rukun Negara berteraskan Rukun Perpaduan dan Pemantapan Institut Kajian dan Latihan Integrasi Nasional.

“Besarlah harapan saya supaya agenda perpaduan negara yang dipertanggungjawabkan kepada KPN akan dapat disokong dengan termeterainya MoU ini.

“Saya juga berharap MoU ini akan membantu kementerian meneroka dan melestarikan bidang kerjasama baharu yang dapat memberi impak dan manfaat keharmonian dan kesejahteraan ke arah perpaduan negara bangsa,” kata Datuk Halimah.

Sementara itu, Naib Canselor, Prof Dato’ Ir Dr Mohd Hamdi Abd Shukor berkata, UKM berbangga dengan kepercayaan yang diberikan kepada pakar-pakar UKM untuk bersama-sama dengan KPN memperkukuhkan perpaduan dan semangat muhibah dalam kalangan rakyat negara ini.

“UKM turut berbangga kerana institut ini (KITA) adalah satu-satunya institut penyelidikan di Malaysia yang sepenuhnya memfokuskan kajian terhadap etnik dan etnisiti.

“Peranan yang dimainkan oleh KITA-UKM adalah sejajar dengan penubuhan KPN – salah satu kementerian baharu yang juga mempunyai misi untuk meningkatkan lagi usaha penyatupaduan bagi membina tapak integrasi yang akan mengukuhkan semangat muhibah dalam kalangan rakyat Malaysia,” katanya.