Profesor UKM antara enam wakil Malaysia terima ADE 2017


Oleh Asmahanim Amir
Foto Izwan Azman

BANGI, 2 Ogos 2017 – Profesor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Ir Dr Ahmad Kamal Ariffin Mohd Ihsan dari Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina telah menerima anugerah Apple Distinguished Educator (ADE) 2017 di Melbourne, Australia baru-baru ini.

Beliau adalah antara enam pendidik di Malaysia yang menerima anugerah berprestij tersebut.

ADE adalah anugerah berprestij dunia yang mengiktiraf pendidik dan perintis yang menggunakan teknologi dalam mentransformasikan sesi pengajaran dan pembelajaran sama ada di peringkat sekolah mahupun institusi pengajian tinggi di peringkat antarabangsa.

Prof Ir Dr Ahmad Kamal Ariffin berkata kejayaan itu membuatkan beliau lebih bersemangat untuk mengajar.

Beliau berbangga dengan penganugerahan itu kerana dari Malaysia, hanya beliau dan seorang lagi pensyarah universiti awam bersama empat guru terpilih menerima anugerah itu.

“Kalau ikutkan penyertaan dari Malaysia adalah sangat tinggi. Saya bersyukur kerana dalam banyak penyertaan itu, saya antara yang terpilih,” katanya.

Sejak ADE diperkenalkan pada tahun 1994, kira-kira 2,500 pendidik di seleuruh dunia telah menerima anugerah itu.

“Daripada jumlah itu, penerima di peringkat pendidikan tinggi tidak banyak jika dibandingkan dengan pendidik diperingkat sekolah,” katanya.

Katanya, dalam aplikasi Apple, ia bukan sahaja untuk mengajar tetapi untuk kehidupan termasuklah bagi menghilangkan tekanan dan pening kepala.

“Ia membawa kepada kehidupan yang lebih semangat kerana semua perkara seperti melukis, mewarna, menyemak tesis, tandatangan surat dan lain-lain boleh dibuat hanya menggunakan aplikasi Apple,” katanya.

Beliau berkata penggunaan aplikasi Apple dalam pengajaran dan pembelajaran dapat menghindarkan para pelajar daripada merasa bosan di dalam kelas.

Beliau turut berharap pensyarah-pensyarah muda juga akan lebih kreatuif dan inovatif dalam menggunakan teknologi yang sedia ada untuk sesi pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.