Program Jalinan Siswa Ketengahkan Budaya Baba dan Nyonya


Oleh Siti Lailatul Mastura Norazla
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 1 Disember 2019 – Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia (KITA-UKM) bersama Pusat Citra UKM dan Persatuan Peranakan Baba Nyonya Kuala Lumpur dan Selangor telah bekerjasama melancarkan Program Jalinan Siswa-Komuiti: Meh Kenal Sama Kita, Baba Nyonya.

Felo Penyelidik Utama Institut Kajian Etnik (KITA-UKM), Prof. Dato’ Dr Teo Kok Seong berkata, Baba dan Nyonya sudah wujud sejak abad ke-16 lagi dan dari situ pembentukan etnik sudah bermula.

“Terdapat sekurang-kurangnya lima ciri yang jelas tentang komuniti peranakan Malaysia. Kelompok itu ialah kelompok sosial tua, dimensi kacukan, kelompok minoriti, budaya campur dan bahasa ibunda,” katanya semasa menyampaikan ucapan perasmian program tersebut.

Objektif program tersebut adalah untuk memberi pendedahan yang lebih luas tentang komuniti Baba dan Nyonya serta sebagai satu contoh komuniti etnik minoriti yang ada dalam masyarakat multi etnik di Malaysia.

Melalui program itu juga, ia menjadi satu platform yang berkesan bagi golongan belia seperti para pelajar UKM untuk mengenali dengan lebih dekat dan berinteraksi secara langsung dengan komuniti Baba dan Nyonya.

Program Jalinan Siswa-Komuiti: Meh Kenal Sama Kita, Baba Nyonya juga turut diserikan dengan pelbagai aktiviti menarik seperti pameran budaya Baba dan Nyonya, pertunjukan fesyen dan sketsa perpaduan yang disertai oleh para pelajar UKM.