Program Mobiliti Pelajar UKM Terus Maju

UKM’s Student Mobility Programmes Continue To Make HeadwayOleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 29 April 2015 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dikagumi kerana berjaya melaksanakan program mobiliti ke luar dan dalam negara dengan universiti-universiti terkenal seluruh dunia.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Prof Dato’ Ir Dr Riza Atiq Abdullah OK Rahmat berkata UKM telah bekerjasama dengan banyak universiti berprestij di seluruh dunia dalam pelbagai bidang.

Ketika melancarkan Forum Hari Mobiliti dan pameran anjuran Pusat Hubungan Antarabangsa (PHA) UKM di sini hari ini, Prof Riza Atiq berkata program yang baik ditawarkan kepada pelajar melalui rakan-rakan kongsi yang cemerlang, kedutaan-kedutaan dan jaringan korporat.

Menurut beliau program mobiliti memberikan pengalaman luar biasa yang tidak dapat dilupakan kepada pelajar, dan pada masa yang sama ia menaikkan semangat  pengantarabangsaan, yang merupakan sebahagian daripada pelan strategik UKM.

“Kami ke arah melahirkan pelajar yang mampu bersaing di peringkat global, berilmu, berpengetahuan dan bertahan terhadap cabaran dunia. UKM mahu melahirkan pelajar yang bersedia dengan segala input yang diperlukan. Ia sudah tentu akan membantu UKM untuk mencapai Bidang Keberhasilan Utama 1 atau lebih dikenali sebagai KRA1 dan KRA 3,” jelas Prof Riza Atiq.

Pengarah PHA Prof Madya Dr Yazrina Yahya, dalam kata-kata aluannya berkata UKM dijangka menyambut satu lagi kumpulan pelajar mobiliti dari Mexico pada bulan Mei dan ia sedang mengaturkan lawatan sekumpulan pelajar Malaysia ke sana lewat tahun ini.

Pada forum itu, penceramah jemputan dari perwakilan asing –  Lourdes Sosa Marquez dari Kedutaan Mexico, Petronila Maurice dan Karen Welsh dari Suruhanjaya Tinggi Australia – memberitahu pelajar-pelajar mengenai peluang yang ada untuk melanjutkan pelajaran di negara mereka.

Welsh, penasihat pendidikan di Suruhanjaya Tinggi Australia berkata semakin ramai rakyat Malaysia meneruskan pengajian peringkat sarjana dan ijazah PhD di negaranya. Beliau berkata kini semakin ramai rakyat Malaysia beralih daripada peringkat prasiswazah kepada pengajian pasca siswazah  di Australia yang membolehkan mereka bekerja di sana.

Marquez, Timbalan Ketua Kedutaan Mexico, berkata negaranya belum menjadi destinasi popular untuk rakyat Malaysia yang ingin belajar di luar negara, tetapi kemajuan telah berlaku melalui pertukaran pelajar dan program mobiliti dengan UKM.

Marquez berkata sesiapa yang ingin memasuki universiti di Mexico mesti mahir  bahasa Sepanyol dan menghadiri kursus-kursus bahasa dan budaya di negara Amerika Tengah tersebut selama enam bulan sebelum mulakan pengajian.

Rakan-rakan  kongsi program ini ialah Pejabat Mercator Jerman, Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS), Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan dan Fakulti Pendidikan, bersama-sama dengan pelbagai universiti di Asia Tenggara,  Asia Timur dan Asia Tengah.

Program Hari mobiliti membolehkan pelajar memahami bukan sahaja bagaimana mereka boleh mengambil bahagian dalam rancangan ini tetapi faedah yang bakal dinikmati daripada penyertaan mereka. Ia juga memberi pendedahan kepada pelajar tentang aktiviti-aktiviti yang terlibat dan menjalin hubungan kuat dengan kedutaan dari segi menggalakkan penjelajahan di luar negara.

Setakat ini UKM mempunyai program mobiliti dengan Universiti Duisburg-Essen di Jerman, Rangkaian Universiti Asean (AUM), program Mobiliti Antarabangsa ASEAN untuk Pelajar (AIMS), Flinders University Australia, Ablai Khan University,  Kazakh University of International Relations and World Languages dan  Korea University di  Korea Selatan,  antara lain.