Program Profesor ke Desa Bantu Pelajar Luar Bandar Dalami Bidang Kejuruteraan


Oleh Asmahanim Amir
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 6 September 2017 – Program Profesor ke Desa yang diilhamkan oleh Timbalan Dekan Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah membantu pelajar luar bandar mendalami bidang kejuruteraan.

Timbalan Dekan Prasiswazah dan Alumni FKAB, Prof Ir Dr Mohd Syuhaimi Ab Rahman berkata idea program Profesor ke Desa tercetus apabila beliau ke Dabong dan Manik Urai, Kelantan bagi memberi bantuan kepada mangsa banjir.

“Apabila saya di sana, saya lihat kehidupan penduduk di sana sangat susah. Kanak-kanak di sana agak terabai dalam pelajaran.

“Jadi, bila saya balik ke sini (UKM), saya mengajak staf dan kawan-kawan saya untuk merangka pelan pendidikan terutama dalam bidang kejuruteraan kepada pelajar-pelajar di kawasan tersebut,” terangnya.

Katanya beliau mendapati pelajar-pelajar di kawasan luar bandar sudah tidak berminat belajar kerana kebanyakan mereka terlibat dengan aktivti tidak sihat untuk mendapatkan wang.

“Bermula dari situ, kami mula pergi ke sekolah-sekolah luar bandar dan menerangkan apa itu kejuruteraan.

“Kami berkongsi pengetahuan dan merungkai beberapa teknologi  kejuruteraan dan senibina seperti teknologi Burj Khalifa di Dubai, farikasi sebuah laser, penuai tenaga berasaskan getaran mekanikal, rangkaian berkelajuan tinggi, senibiaa warisan melayu dan teknologi enjin sel fuel yang mewakili setiap bidang program yang ditawarkan di UKM.

“Dari perkongsian tersebut, kami dapat melihat pelajar-pelajar ini mula berminat dengan kejuruteraan. Mereka juga telah memberi respon yang sangat bagus sepanjang program tersebut,” jelasnya.

Beliau berkata antara kawasan yang telah beliau jejaki adalah Rantau Panjang, Machang, Tanah Merah, Bachok (Kelantan), Grik, Bagan Datuk (Perak) dan Seberang Takir (Terengganu).

Katanya untuk tahun ini, dua lagi negeri akan dijelajah oleh pasukan beliau iaitu Perlis dan Pahang.

Prof Ir Dr Mohd Syuhaimi berkata kesedaran untuk turun padang ke kawasan luar bandar itu juga tercetus apabila melihat trend pemilihan pelajar ke Institusi Pengajian Tinggi yang memilih bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) semakin berkurangan.

“Kita cuba tanamkan minat mereka untuk memilih bidang kejuruteraan. Ada antara mereka tidak faham apa itu kejuruteraan. Jadi kita terangkan dengan mendalam apa yang dimaksudkan dengan bidang kejuruteraan,” jelasnya.

Katanya beliau melihat kanak-kanak di luar bandar mempunyai jiwa yang kental dalam meneruskan kehidupan seharian.

“Untuk menjadi jurutera, kita perlukan seeorang yang boleh berhadapan dengan segala ujian dan dugaan. Saya nampak semua itu ada pada pelajar-pelajar tersebut berbanding pelajar di bandar.

“Mereka sangat berdikari dan tidak dimanjakan dengan gajet. Jadi, personaliti itulah yang diperlukan untuk menjadi seorang jurutera,” jelasnya.

Katanya beliau berharap program itu sentiasa dihidupkan dan mencapai sasaran.

“Saya harap suatu hari nanti akan ada pelajar yang menyertai program ini mendaftar sebagai pelajar di fakulti ini,” katanya.