Projek “Re-Live Kampung Donglai Baru” MBA UKM Bantu Selesaikan Masalah Sumber Air Penduduk Orang Asli


Oleh Nur Amalina Khairol Mokhtar
Foto oleh Nur Aifaa Syazana Azizi

HULU LANGAT, 7 Februari 2019 – Kumpulan Backyard Star yang terdiri daripada 11 pelajar pascasiswazah, Pusat Siswazah Perniagaan Universiti Kebnagsaan Malaysia (UKM-GSB) telah menjalankan projek Re-Live Kampung Donglai Baru, iaitu membina empangan kecil bagi kegunaan dan kesejahteraan masyarakat orang asli di kampung itu.

Projek yang dijalankan oleh pelajar Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA), mendapat kerjasama daripada Lembaga Zakat Selangor dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) telah membantu masyarakat orang asli mendapatkan sumber air bersih memandangkan masalah kekurangan sumber air bersih menjadi kekangan di kampung tersebut.

Sebuah empangan kecil telah dibina di kawasan hutan tinggi bagi mebolehkan bekalan air disalurkan kepada penduduk Kampung Donglai Baru untuk kegunaan seharian mereka.

Usaha pembinaan empangan kecil yang mengambil masa seminggu turut dibantu oleh lima orang buruh binaan yang merupakan penduduk kampung tersebut.

Pegawai Urusetia Parlimen Dewan Undangan Negeri Dusun Tua, Redzuan Khalib berkata, masalah kekurangan sumber air adalah satu perkara yang dihadapi oleh masyarakat orang asli terutamanya kampung yang berada di kawasan pedalaman.

“Saya sangat terharu apabila ada wakil mahasiswa yang sanggup membantu kampung ini bagi mendapatkan sumber air yang cukup dan bersih dengan membina empangan kecil untuk mereka,” katanya.

Sementyara itu, Dekan UKM-GSB, Prof Madya Dr Puan Yatim berkata, dengan adanya empangan kecil yang dapat menyalurkan sumber air bersih kepada penduduk kampung itu, beliau berharap agar segala aktiviti seharian penduduk di situ tidak terganggu lagi.

“Program seumpama ini sekaligus dapat merapatkan jurang di antara golongan pelajar universti awam bersama golongan minoriti orang asli di sini,” katanya.