PRU 14: Rakyat Perlu Bijak Memilih Pemimpin


Oleh Asmahanim Amir
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 19 April 2018 – Dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14), rakyat Malaysia disarankan untuk bijak memilih calon pemimpin, termasuk kehebatan parti yang bertanding.

Pengarah Institut Kajian Etnik (KITA),  Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin berkata, terdapat lima kreteria yang perlu dilihat dan dinilai oleh rakyat Malaysia sebelum memangkah kertas undian.

Lima kriteria itu ialah personaliti calon, karisma kepimpinan, hubungan dengan masyarakat, kemampuan melaksanakan tanggungjawab dan manifesto yang ditelah dibentangkan oleh parti yang bertanding, katanya.

“Hebat mana pun parti itu (parti yang bertanding), tetapi kehebatan calon yang akan menjadi faktor utama kemenangan sesebuah parti,”menurut beliau semasa Bicara Persada ke-43 bertajuk PRU14: Malaysia Memilih, baru-baru ini.

Sementara itu, seorang lagi ahli panel iaitu Ketua Program Sains Politik Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Keselamatan UKM, Prof. Madya Dato’ Dr Mohammad Agus Yusoff berkata, beliau melihat PRU ke-14 ini bakal ditentukan oleh parti yang boleh menyatukan kaum di Malaysia.

“Ini adalah masa untuk membentuk satu Malaysia baharu. Hak rakyat jangan diambil. Rakyat akan menyokong jika jadi pemimpin yang memberi, bukan pemimpin yang mencari,” katanya.

Katanya, beliau melihat PRU kali ini adalah unik kerana ia bakal menyaksikan perang maklumat antara media sosial dan media tradisional.

Forum yang menampilkan pengacara RTM1 iaitu Sayed Munawar Sayed Muhamad Mustar sebagai Moderator, turut membariskan dua lagi ahli panel Pensyarah Pusat Penyelidikan Impak Media dan Industri Kreatif UKM, Prof. Madya Dr Chang Peng Kee dan Pensyarah Bahagian Politik dan Dasar Awam Sekolah Perdana Universiti Teknologi Malaysia, Dr. Mazlan Ali.