Pusat Perubatan UKM Pelopori Sistem Makmal Automatik Di Malaysia

01
Prof Dato’ Dr Raymond (kedua dari kanan) meneliti sistem TLA

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Rosli Nasir, jurugambar HCTM

CHERAS, KUALA LUMPUR, 20 November 2015 – Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) kini mempunyai  sistem makmal automasi penuh (TLA) yang pertama di negara untuk mendiagnosis sampel secara lebih selamat dan pantas.

Pengarah HCTM Prof Dato’ Dr Raymond Azman Ali, ketika melancarkan sistem tersebut di sini hari ini berkata ia meringkaskan masa untuk pelbagai analisis diagnostik sehingga 30% di samping menyediakan persekitaran yang lebih selamat bekerja untuk kakitangan makmal dan juruteknik.

“Ia membolehkan persekitaran kerja lebih kondusif selain mengurangkan kebarangkalian kakitangan terdedah kepada risiko kesihatan dengan mengurangkan kerja tangan dalam sampel ujian. Apa yang memerlukan 20 langkah pada masa lampau, kini dikurangkan kepada 5 langkah,” kata beliau.

Beliau berkata automasi yang menyediakan tiga langkah penting, proses pra-analisis, analisis dan pasca-analisis, dilakukan lebih lancar dan selamat, yang tidak pernah ada di negara ini sebelum ini.

“TLA di Unit Patologi Kimia di hospital ini adalah sistem yang pertama seumpamanya di Malaysia, dan kini merupakan pusat rujukan bagi makmal lain yang merancang untuk membentuk sistem yang sama untuk mereka sendiri.

“Sebelum ada sistem ini, analisis dan mendiagnosis sampel tertentu boleh menjadi agak berbahaya dan lambat, dan kesilapan berlaku dari semasa ke semasa; kesilapan yang membawa padah dan berpotensi berbahaya. Kecederaan dan kulit terbakar akibat pecahan dan tertumpah bahan kimia pernah berlaku,” jelas beliau.

Beliau berkata sistem TLA ini juga menjimatkan kos keseluruhan dalam jangka masa panjang walaupun harganya sebanyak RM6 juta.

Pada masa yang sama, katanya, kejadian kekeliruan diagnosis dengan pesakit juga dapat dihapuskan.

“Cara paling cepat untuk menguji (untuk diagnosis) adalah ujian sisi katil dengan pesakit dalam wad, tetapi ia tidak begitu tepat. Dengan ujian manual di makmal, telah terdapat kes-kes salah kenal pasti sampel kepada pesakit, tetapi kini tidak lagi berlaku,” beliau menjelaskan.

Ketua Jabatan Perkhidmatan Makmal Diagnostik Dr Hanita Othman berkata kerja memadankan sampel kepada pesakit sangat genting.

“Salah satu daripada sebab-sebab yang paling biasa dan boleh dicegah adalah diagnosis salah akibat pelabelan salah sampel tisu.

“Untuk mengenal pasti sampel awal dalam proses, ‘Bar Code’ atau pengekodan bar dan perisian untuk mengenal pasti dan mengesan spesimen boleh mengurangkan risiko diagnosis salah. Sebuah sistem yang boleh menghapuskan kesilapan-kesilapan ini boleh memberikan kelegaan yang besar bukan sahaja untuk mereka yang bekerja dengan sampel, tetapi yang paling penting, untuk pesakit berkenaan,” Dr Hanita menerangkan.

Pengunaan  TLA merupakan kerjasama antara HCTM dan Abbot Diagnostics dari Amerika Syarikat, melalui wakilnya di Malaysia Abbot Laboratories.

Turut hadir menyaksikan pelancaran sistem TLA itu Sarah Ong, Pengarah Unit Perniagaan Laboratories, bersama-sama dengan kakitangan  pemasaran dan teknikal syarikat tersebut.ukmnewsportal-bm
02

Prof Dato’ Dr Raymond puas hati dengan sistem TLA

03

Sistem TLA di unit pathologi kimia di hospital

04