Putera Mahkota Jepun Mahu Erat Kerjasama Dengan PERMATA Negara – Datin Seri Rosmah


Oleh Nadia Sapuan
Foto Abd Raai Osman dan Ikhwan Hashim 

BANGI, 19 April 2017- Putera Mahkota Jepun, Putera Mahkota Naruhito menyatakan hasrat untuk mengeratkan kerjasama antara Pusat PERMATApintar Negara Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan sekolah untuk pelajar berkemahiran tinggi di Jepun.

Penaung PERMATA Negara (Permata), Datin Seri Rosmah Mansor berkata Putera Mahkota Naruhito menzahirkan rasa kagum terhadap program dan aktiviti di Pusat PERMATApintar Negara dalam mendidik kanak-kanak yang berbakat besar.

“Putera Naruhito menzahirkan rasa kagum apabila mengetahui ada pelajar program ini yang berjaya masuk universiti di luar negara seawal usia 14 tahun dan ini telah menarik minat baginda untuk mengeratkan kerjasama yang sedia ada dengan PERMATApintar Negara.

“Bidang kerjasama yang kita maksudkan termasuk dengan menambah jumlah pelajar yang terlibat dalam program pertukaran pelajar,” katanya.

Menyentuh tentang  program pertukaran pelajar, beliau berkata pada tahun ini dijangka seramai 100 pelajar dari Jepun akan datang ke Pusat PERMATApintar Negara, manakala Malaysia akan menghantar 10 pelajar ke Jepun.

Beliau menambah program pertukaran pelajar antara PERMATApintar Negara dan sekolah di Jepun bermula pada tahun 2015 apabila Jepun menghantar seramai 50 pelajar ke Malaysia dan Malaysia menghantar seramai tujuh pelajar ke Jepun.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa), Prof Dato’ Ir Dr Riza Atiq Abdullah O.K Rahmat ketika berucap menyampaikan taklimat kepada baginda berkata lawatan itu menjadi peluang kepada Malaysia dan Jepun untuk bertukar ilmu antara satu sama lain sekaligus dapat memanfaatkan pelajar berbakat dari kedua-dua negara.

“Lawatan ini boleh membuka jendela untuk kita bekerjasama dalam mendidik pelajar berbakat dari Malaysia dan Jepun, misalnya menerusi program pertukaran pelajar dan tenaga pengajar, aspek penyelidikan serta program latihan tenaga pengajar,” katanya.

Beliau berkata PERMATApintar Negara berhasrat untuk melahirkan pelajar yang  berkompeten  dalam berhadapan dengan cabaran abad ke-21 di samping memiliki keyakinan diri yang tinggi selain merendah diri, kreatif dan inovatif.

Ketibaan Putera Mahkota Naruhito di Pusat PERMATAPintar Negara pada pukul 11 pagi disambut oleh Datin Seri Rosmah Mansor dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim.

Lawatan pertama kali pewaris pertama takhta Jepun itu diikuti dengan taklimat mengenai perkembangan pendidikan dan program yang diberikan oleh Dato’ Ir Dr Riza Atiq Abdullah serta melihat pameran eksperimen Matematik, Fizik, Biologi dan Kimia serta persembahan muzik tradisional oleh pelajar-pelajar daripada pusat tersebut.

Kehadiran baginda ke pusat tersebut merupakan sebahagian daripada atur cara baginda sempena lawatan rasmi selama lima hari dan kemuncak hubungan diplomatik 60 tahun antara Jepun dan Malaysia.