Rakyat Perlu Aktif Untuk Sihat – Dato’ Wira Othman Aziz


Oleh Nadia Sapuan
Foto Abd Raai Osman

BANGI, 2 Mei 2017 – Rakyat terutamanya golongan belia digalakkan untuk bergiat dengan lebih aktif dalam bidang sukan supaya dapat melahirkan masyarakat yang memiliki tubuh badan yang sihat di samping memiliki otak yang cergas dan cerdas.

Demikian menurut Timbalan Menteri Kewangan 1, Dato’ Wira Othman Aziz ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Penutup  Campus To Explore (C2X) Kolej Keris Mas, baru-baru ini.

Beliau berkata pihak kerajaan sangat menggalakkan masyarakat untuk bergiat dengan lebih aktif dalam bidang sukan bagi melahirkan rakyat yang sihat, cergas dan aktif dalam menuju pembangunan negara dari semasa ke semasa.

“Pihak kerajaan mengadakan pelbagai usaha dalam menggalakkan penglibatan rakyat dalam bidang sukan dan antaranya Perdana Menteri kita sendiri telah memberikan pelepasan bayaran cukai sebanyak RM2,500.

“Rakyat boleh membeli barang-barang dan peralatan sukan dengan maksimum sebanyak RM2,500 yang kemudiannya boleh dituntut di Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk dikecualikan cukainya dan ini merupakan salah satu usaha kita untuk membangunkan rakyat yang sihat cergas dan aktif,” katanya.

Beliau berharap program C2X yang merupakan program larian kampus itu mampu menjadi sebuah trademark kepada Kolej Keris Mas dan sekaligus  berkembang menjadi sebuah kejohanan besar yang bukan sahaja di peringkat kolej tetapi juga di peringkat UKM.

C2X yang merupakan sebuah program anjuran Sekretariat Sukan Dan Rekreasi, Majlis Eksekutif Kolej Keris Mas telah mengetengahkan acara larian berkonsepkan larian secara santai bagi menarik minat pelajar UKM untuk menglibatkan diri dengan lebih aktif dalam bidang sukan.

Turut hadir pada program itu Timbalan Pengarah Perhubungan Alumni, Pusat Pembangunan Mahasiswa dan Perhubungan Alumni, Ir Dr Nazrul Anuar Nayan dan Pengetua Kolej Keris Mas, Prof Madya Datuk Dr Muhammad Hussin.