Rangka Dinosaur Ditemui Di Semenanjung Malaysia Tak Lama Lagi?

080615_Dinosaur_01N
Oleh Asmahanim Amir
Foto Abd Raai Osman

BANGI, 1 Jun 2015 –  Penyiasatan kumpulan penyelidik termasuk dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menemui beberapa objek kecil yang berkemungkinan berasal daripada serpihan tulang atau gigi  Dinosaur di Penara Gagau, Kelantan.

Pensyarah Pusat Pengajian Sains Sekitaran dan Sumber Alam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Dr Mohd Shafeea Leman berkata kumpulan penyelidik dan pensyarah telah menemui kesan tapak kaki dan tulang dinosaur spesies Theropoda termasuk Sauropod dan Theropod Maging dan Ornithopods termasuk Iguanodontid.

Kata beliau selepas penemuan ini, para penyelidik yang juga terdiri daripada pasukan dari Universiti Malaya (UM), Universiti Teknologi Petronas (UTP), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia akan mengenal pasti dengan lebih tepat genus dan spesies dinosaur tersebut dan menjalankan penggalian sistematik di tapak penemuan asal dengan bantuan pakar.

“Kita juga akan memulihara fosil ex-situ dan in situ serta menjelajah kawasan lain yang berpotensi seperti di Kedah,” kata Prof Shafeea pada Syarahan Umum: Warisan Fosil Dinosaur di Malaysia di sini pada 28 Mei lepas.

Beliau berkata jika batu yang lebih halus dijumpai, kemungkinan untuk menjumpai rangka dinosaur yang lengkap adalah lebih tinggi.

“Jika kita lihat di China, mereka (penyelidik) telah menjumpai batu yang lebih halus dan dalamnya ada rangka yang lengkap. Kalau batu yang kasar (besar), selalunya kita hanya akan menjumpai tapak kaki atau gigi,”  beliau menerangkan.

Menurut Prof Dr Mohd Shafeea, kebanyakan penceritaan dalam filem Hollywood berkenaan dengan dinosaur adalah fakta.

“Mereka melakukan kajian sebelum menerbitkan filem haiwan purba tersebut. Tetapi sehingga kini isu berkenaan dengan bunyi dan warna belum boleh dijawab. Itu mungkin berdasarkan taksiran sahaja.

“Tapi tidak dinafikan memang ada orang buat kajian khusus berkenaan itu (bunyi dan warna). Dari segi bentuk, saiz, cara pergerakan, cara makan dan bentuk gigi, adalah fakta yang benar tentang dinosaur,” jelasnya.

Fosil adalah rangka atau sebarang tinggalan hidupan kuno (micron hingga puluhan meter) yang terawet secara tabii dalam batuan sedimen iaitu kira-kira 2.1 bilion hingga 11,700 tahun sebelum tamadun manusia.

Ia mewakili pelbagai taksa iaitu fauna, flora, peptista, monera dan sebagainya serta hidup dalam pelbagai sekitaran dan ditemui dalam pelbagai jenis batuan sedimen.

Menurut Prof Shafeea fosil dinosaur telah dijumpai pada batuan sedimen iaitu sejenis batuan berwarna merah atau dipanggil red bed.

“Batuan sedimen yang terendap dalam lembangan persekitaran daratan lazimnya terdiri daripada batu pasir, syal dan konglomerat berlapisan tebal.

“Di Malaysia, kita menjumpai enapan merah daratan dari zaman Late Jurassic hingga Early Cretaceous (kira-kira 130 juta tahun lalu) yang banyak bertaburan di kawasan pergunungan di Semenanjung Malaysia, terutamanya di Pahang dan Johor. Terdapat juga taburan yang sedikit di Kelantan, Terengganu dan Kedah,” beliau menerangkan.

Beliau berkata fosil flora berusia Early Cretaceous telah dicatat di beberapa lokasi di Gunung Gagau iaitu di Hulu Terengganu, di Maran (Pahang) dan di Paloh serta Parit Sulong (Johor).

Katanya pencarian dan matlamat kajian dinosaur di Malaysia adalah untuk mendapatkan replika fosil tapak dinosaur dan menyiasat kesahihan fosil tulang.

“Kumpulan penyelidik juga turut menyiasat asal usul bungkahan berfosil dan mencari sebarang bukti tambahan yang menunjukkan tanda bahawa dinosaur wujud di Malaysia.

“Selain itu, pencarian atau kajian fosil dinosaur juga adalah bagi melengkapkan peta geologi rintisan dan bermula dari itulah kita memulakan penyiasatan di Penara Gagau di Kelantan,” katanya.

Beliau berkata hasil penyiasatan kumpulan penyelidik telah membuat penemuan tersebut, manakala lapisan bungkah yang lebih besar telah ditemui iaitu sehingga 100 meter tebal dan satu kilo meter lebar hingga ke tebing cenuram dalam hutan tersebut.

“Selama beberapa hari kita di dalam hutan Gagau, kita telah menemui banyak fosil batang kayu dan daun di dalam bungkah serta pada singkapan tanah runtuh di kawasan itu,” katanya.

Dinosaur yang merupakan sekumpulan haiwan yang hidup di muka bumi ini beratus-ratus juta tahun lalu telah pupus akibat hentaman metreolit terbesar yang sampai ke muka bumi 60,000,000 tahun lalu.

Menurut Prof Shafeea hentaman itu menyebabkan haiwan tersebut masuk jauh ke dalam perut bumi dan seterusnya terawet sebagai fosil dalam batuan sedimen.

“Selain dari hentaman metreolit, terdapat faktor-faktor lain seperti perubahan suhu, kejatuhan mendadak dalam paras laut dan oksigen berlebihan dalam atmosfera turut menyebabkan haiwan purba itu hilang di muka bumi,” tambah beliau.