Rayuan Supaya Pengeluar Minyak Sawit Tidak Tambah Kawasan Ladang

1
Oleh Saiful Bahri Kamaruddin

Foto  Abd Ra’ai Osman

BANGI, 6 Mei 2016 – Pengeluar minyak sawit di  Malaysia dan lain-lain negara  tidak perlu meningkatkan saiz ladang dengan menebang hutan, kata seorang penyelidik pengeluaran makanan yang lestari dan globalisasi Prof Ir Dr Peter Oosterveer.

Beliau berkata pengeluaran minyak sawit semakin meningkat dan kini ia minyak masak yang paling popular di dunia dengan mencecah 34% pasaran dunia.

“Lebih baik tumpu kepada pengeluaran lestari melalui peningkatan hasil dan pengurusan ladang-ladang yang lebih baik,” Katanya dalam syarahan umum bertajuk ‘Tadbir Urus, Kelestarian dan Globalisasi’ anjuran Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini hari ini.

Beliau menegaskan pertambahan saiz estet tidak perlu secara mendadak,  kerana pokok-pokok kelapa sawit mempunyai kitaran hidup yang panjang dan menghasilkan minyak dalam kuantiti yang lebih besar berbanding kacang soya dan jagung – kedua-dua pesaing utama kepada minyak sawit.

Eropah dan Amerika Syarikat, katanya, agak sensitif terhadap isu-isu minyak sawit dan menuntut ia disahkan lestari oleh organisasi penyelidikan bebas, terutamanya cop kelulusan yang dikeluarkan oleh  Roundtable on Sustainable Palm Oil (RSPO).

Sebarang laporan mengenai pengeluar minyak sawit menebang hutan untuk meningkatkan kawasan penanaman hanya akan memburukkan lagi keadaan dan negara-negara pengguna Barat mungkin mengenakan  kuota –  atau mengharamkan terus import minyak sawit secara terang-terangan.

Tambahan pula, beliau berkata, kajian menunjukkan bahawa penanaman pokok kelapa sawit juga meningkatkan pencemaran, yang akan menjadikan industri ini kurang lestari.

Namun demikian, beliau mengakui bahawa pensijilan mempunyai pengaruh terhad kerana terdapat pematuhan yang berbeza di kalangan negara-negara pengguna.

Beliau mencadangkan pengeluaran makanan di dunia, termasuk minyak sawit, dikawal oleh satu pemerintahan peraturan global untuk memastikan  terdapat cukup bekalan  dalam jangka masa panjang, kerana kelestarian makanan menjadi isu dunia.

Beliau berkata, ia perlu dilakukan untuk memenuhi permintaan kerana bekalan beberapa jenis makanan semakin kurang.ukmnewsportal-bm

3

2