REDD+ : Nafas Baru Kawal Pencemaran Karbon di Udara


Oleh Nastura Nasir
Pix Ikhwan Hashim

BANGI, 29 Disember 2016 – Manusia adalah punca dominan pemanasan global, yang membawa kepada perubahan iklim termasuk perubahan besar dalam suhu, hujan, atau corak angin.

Demikian  menurut Pengarah Bahagian Perhutanan dan Alam Sekitar FRIM Dr. Samsudin Musa, dalam Syarahan beliau di UKM  yang bertajuk “Climate Change and Forestry: Input from Research and Development”.

Pelbagai konsep dan idea telah dibangunkan di peringkat global bagi memerangi isu kesan rumah hijau ini, dan kebanyakannya tidak mendapat sambutan bahkan juga melibatkan kos tinggi.

Antaranya ialah Reducing emissions from deforestation and forest degradation (REDD+), suatu mekanisme yang berada di bawah rundingan oleh United Nations Framework Convention on Climate Change (UNFCCC), sejak tahun 2005, dengan objektif untuk mengurangkan perubahan iklim dengan mengurangkan pelepasan gas rumah hijau (GHG) dan memperbaiki pengurusan hutan di negara-negara membangun.

REDD+ menyediakan insentif untuk mengurangkan pelepasan GHG daripada hutan, dan dijangka menyediakan kadar yang menarik untuk menggalakkan penyertaan daripada seluruh dunia.

Malaysia juga, menurut Dr. Samsudin, amat menitikberatkan kepentingan hutan bagi mengawal keseimbangan bio.

Pelbagai langkah telah diambil bagi memulihara hutan sedia ada dan juga membaikpulih hutan-hutan yang telah dicerobohi secara haram.

Antara tindakan lain yang diambil adalah menukarkan status hutan tanah kerajaan kepada Hutan Simpanan Kekal, di samping menjalankan penyelidikan mengenai penilaian stok karbon dan pelepasan GHG.

Dr. Samsudin Musa memperolehi PhD dalam bidang Botani di UKM pada tahun 2011 dan adalah antara ahli delegasi Malaysia ke mesyuarat UNFCCC.

Beliau juga terlibat dengan Intergovernmental Panel on Climate Change (IPCC) sebagai penulis utama bagi penerbitan Good Practice Guidance for Land Use Change and Forestry pada tahun 2003.