Revolusi Industri 4.0 Beri Cabaran Baharu dalam Pengajian Islam


Oleh Inaara Aznan
Foto oleh Shahiddan Saidi

BANGI, 3 Januari 2019 – Revolusi Industri 4.0 yang melibatkan teknologi digital telah memberi cabaran baru kepada semua sektor di seluruh dunia, termasuklah bidang Pengajian Islam.

Felo Pusat Pengajian Islam Oxford, University of Oxford, United Kingdom, Dato’ Dr Afifi Al-Akiti berkata, sekiranya masyarakat Islam terus terkongkong dalam persekitaran yang sama, ia akan menjadikan mereka ketinggalan dalam segala bidang.

Beliau berkata, masyarakat Islam perlu melakukan perubahan seiring dengan transformasi digital untuk kekal berdaya saing.

“Sebelum ini, revolusi industri yang pertama bergantung kepada penggunaan mesin berkuasa wap. Revolusi perindustrian kedua pula melibatkan kuasa elektrik. Kemudian di­ikuti dengan revolusi perindustrian ketiga berasaskan teknologi maklumat dan komputer sebagai tonggaknya.

Kini, Revolusi Industri 4.0 pula telah menemukan pelbagai teknologi baharu seperti Internet of Things (IoT), analisis, big data, simulasi, integrasi sistem, penggunaan robotik dan cloud yang bakal meran­cakkan kemajuan landskap dunia moden.

Sekiranya ahli pengajian Islam atau golongan ulama kita cuma buka kitab tawasuf, fiqh, hadis dan tafsir, bagaimana hendak memahami Revolusi Industri 4.0 ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Syarahan Cendekiawan Pengajian Islam 2.0 bertajuk Pengajian Islam Era Revolusi Industri 4.0 di Bilik Senat, Bangunan Pentadbiran, UKM baru-baru ini.

Hadir sama, Naib Canselor UKM, Prof Tan Sri Dato’ Seri Dr Noor Azlan Ghazali, Dekan Fakulti Pengajian Islam, Prof Dr Wan Kamal Mujani, ahli akademik FPI dan pelajar.

Dalam syarahannya, beliau turut mengingatkan semua agar mengambil pengajaran daripada sarjana Islam terkemuka iaitu Imam Ghazali yang berjaya menguasai semua bidang ilmu.

Katanya, masih tidak terlambat untuk umat Islam mengambil bahagian dalam pembangunan Revolusi Industri 4.0 agar dapat mengubah dunia Pengajian Islam.