RM1 Sehari Dikenakan Kepada Pelajar yang Tinggal Barang di Bilik Kolej Kediaman


BANGI, 25 Jun 2020 – Satu pertemuan telah diadakan antara pihak pengurusan dan wakil pemimpin pelajar mengenai isu kadar caj kolej dalam tempoh PKPP. TNC Hal Ehwal Pelajar (HEP) menjelaskan beberapa persoalan yang ditimbulkan oleh wakil pemimpin pelajar berkaitan pekeliling Pusat Perumahan Pelajar (PPP).

Perbincangan terdahulu melibatkan TNC HEP, TNC Akademik dan Antarabangsa (TNC AA), bendahari dan wakil Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) iaitu Akmal dan Yilson pada dasarnya telah bersetuju dengan kadar caj kolej bagi pelajar yang menginap dan pelajar yang pulang ke rumah dan meninggalkan barang/peralatan di dalam bilik kolej. Pihak pengurusan ketika itu bersetuju kadar caj bilik bagi mereka yang tidak menginap tetapi barang/peralatan masih di dalam bilik ialah RM1 sehari bermula awal Julai. Kadar ini, menurut Bendahari perlu di bawa ke mesyuarat Jawatankuasa Tetap Kewangan untuk diperakukan sebelum boleh digunapakai.

Pelajar dibenarkan mengambil barang/peralatan pada waktu yang telah ditetapkan serta mengikut SOP tertentu bagi mengelak berlakunya penularan virus COVID-19. Tiada caj akan dikenakan sekiranya pelajar melakukan daftar keluar pada atau sebelum 30 Jun 2020. Bermula 1 Julai sehingga 31 Ogos, caj penyimpanan RM1 sehari akan dikenakan. TNC HEP memaklumkan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Universiti (MJPU) telah bersetuju dengan kadar ini dan satu MEMO dikeluarkan bagi memaklumkan kadar ini. TNC HEP juga menjelaskan bahawa pelajar juga dibenarkan untuk menghantar wakil bagi mengambil barang. Pihak kolej juga turut menyediakan ruangan stor bagi pelajar menyimpan barang dan kadar caj bergantung kepada kolej masing-masing.