Robotik Pilihan Utama Kanak-Kanak di Kem Pengkomputeran UKM

1
Oleh Saiful Bahri Kamaruddin

Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 14 Dis 2015 – Robotik menjadi perbualan hangat bagi murid-murid sekolah yang mengambil bahagian Kem Pengkomputeran UKM 2015 selama tiga hari anjuran Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang bermula hari ini.

Seramai 150 murid berdaftar untuk program ini yang dikendalikan oleh Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat (FTSM) secara bengkel yang antara lain, memberi panduan dalam pengekodan komputer, penghasilan video dan pembangunan web 2.0.

Namun demikian, reka bentuk dan penggunaan robot atau automaton merupakan tajuk yang paling memberangsangkan.

“Bengkel yang paling popular adalah Robotik. Kami berharap bahawa kanak-kanak yang datang hari ini akan mendapat manfaat dan mungkin dalam masa 10 tahun mereka akan belajar dan memilih pembangunan automaton sebagai kerjaya, ” kata Prof Dr Abdullah Mohd Zin, Dekan FTSM yang menganjurkan Kem Komputer UKM 2015.

Prof Abdullah, yang merasmikan kem di FTSM berkata, jumlah yang hadir pada hari pelancaran itu menggalakkan walaupun ia jatuh pada cuti umum bagi Selangor yang diumumkan pada hujung minggu.

Beliau berharap program tersebut akan menggalakkan lebih ramai kanak-kanak sekolah untuk belajar teknologi maklumat.

“Jadi satu permulaan. Kita ada rancangan hidupkan kelab komputer di daerah Hulu Langat sebagai sumbangan kepada masyarakat setempat di Bandar Baru Bangi. Kami menyasarkan lebih banyak sekolah di daerah ini pada bulan Jun dan Julai tahun depan,” katanya.

Prof Madya Dr Zalinda Othman, Ketua Hal-ehwal Jaringan Industri Dan Masyarakat (HEJIM) di FTSM yang juga ketua Jawatankuasa kem tersebut, berkata kira-kira 100 kanak-kanak tiba untuk mengambil bahagian.

“Sudah tentu mereka semua memantau dan menggunakan internet. Sekarang kita memberi mereka peluang untuk membangunkan laman sesawang dengan video untuk pengalaman yang berbeza.

“Kami juga mengadakan bengkel untuk Hour of Code, satu pergerakan global yang membabitkan berpuluh-puluh juta pelajar di lebih daripada 180 buah negara. Ia sempena perayaan Minggu Pendidikan Sains Komputer pada minggu ini.

Hour of Code diadakan dalam berbilang sesi sehingga para pelajar menyelesaikan tutorial. Kami melakukan apa sahaja yang paling sesuai untuk pelajar.

“Setiap pelajar harus mempunyai peluang untuk belajar sains komputer. Ia membantu memupuk kemahiran menyelesaikan masalah, logik dan kreativiti. Dengan memulakan awal, pelajar akan mempunyai asas untuk berjaya dalam mana-mana laluan kerjaya abad ke-21,” beliau menerangkan.

Beliau berkata program itu telah diselaraskan oleh Fakulti Pendidikan dengan kerjasama jabatan-jabatan lain di UKM dan Pejabat Pelajaran Daerah.

Para peserta berusia diantara 4 hingga 15 tahun, dan ramai datang ditemani oleh ibu bapa mereka ketika perasmian.
ukmnewsportal-bm

2

3

4