Rokok Elektronik Tetap Bahayakan Kesihatan


Oleh Asmahanim Amir
Foto Shahiddan Saidi

CHERAS, 11 Februari 2020 – Penggunaan rokok elektronik atau vape yang menjadi trend masa kini terutamanya dalam kalangan orang muda jelas membahayakan kesihatan dan berpotensi memudaratkan orang lain.

Timbalan Dekan (Jaringan dan Penjanaan), Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, walaupun rokok elektronik tidak mempunyai tar, tetapi ia berisiko untuk terlibat dengan dadah atau bahan kimia lain berikutan E-jus yang digunakan mudah diubah suai.

“E-jus mengandungi air, propylene glycol, glycerine, perasa, nikotin dan beberapa bahan kimia yang lain. Ada juga E-jus yang tidak mengandungi nikotin.

“Setiap bahan kimia yang terkandung dalam E-jus akan mendatangkan mudarat kepada kesihatan individu apabila diambil secara terus serta pada dos yang berlebihan,” katanya semasa menyampaikan Syarahan Perdana Profesor bertajuk Rokok Elektronik: Keseronokan Terlarang dalam Kalangan Remaja di Auditorium Fakulti Perubatan di Cheras, baru-baru ini.

Beliau berkata, ada sesetengah E-jus didakwa tidak mempunyai nikotin, tetapi sebaliknya telah ditambah dengan dadah atau bahan kimia berbahaya tanpa pengetahuan pengguna.

“Ini menunjukkan kandungan E-jus tidak mempunyai jaminan bahawa ianya tidak dimanipulasikan oleh pihak yang tidak bertangtungjawab,” katanya.

Prof Dr Sharifa Ezat berkata, sama seperti asap rokok, wap rokok elektronik juga berpotensi memberi risiko kepada orang lain yang berada di sekeliling perokok.

“Tidak semua wap yang terhasil dihisap masuk ke dalam paru-paru. Sebahagian besar wap tersebut serta bahan-bahan kimia di dalamnya akan dihembus keluar.

“Wap ini tidak berbau busuk, mahalan berbau wangi seperti bau makanan dan perisa buah-buahan. Walau bagaimanapun, orang yang berada di sekeliling akan terkesan dengan bahan kimia dalam wap yang dibebaskan ke persekitaran,” katanya.

Katanya, seperti pengguna rokok elektronik, orang yang menghidu asap rokok elektronik juga akan mengalami simptom-simptom awal seperti mual, muntah, sawan dan sesak nafas.

“Walaupun kesan jangka panjang seperti kanser dan penyakit kronik paru-paru masih belum disahkan dan memerlukan kajian lanjut, tetapi ia tidak bermakna tiada kesan ke atas kesihatan,” katanya.

Beliau berkata, walaupun risiko ke atas kesihatan dikatakan lebh rendah berbanding rokok konvensional, pengguna rokok elektronik perlu dikawal selia dengan serius bagi memastikan kesejahteraan sejagat.

“Pada masa akan datang, tidak mustahil isu baharu berkaitan penggunaan rokok elektronik akan muncul.

“Sebelum penggunaan rokok elektronik menjadi suatu budaya yang normal dalam kalangan masyarakat, kita seharusnya menyokong usaha pihak kerajaan dan mana-mana organisasi yang bertungkus lumus mengawal selia penggunaan peranti ini,”jelas beliau.