Rosh-UKM Dan Puspakom Beri Kemudahan Pemeriksaan Kenderaan Percuma


Oleh Muhammed Khuzairi
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 28 Januari 2019 – Kerjasama antara Pusat Pengurusan Risiko, Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (ROSH-UKM) dan PUSPAKOM telah memberi kemudahan kepada warga UKM untuk membuat pemeriksaan kenderaan secara percuma.

Pengarah ROSH-UKM, Prof Dr Zaidi Isa berkata, kerjasama yang dijalankan itu dapat memberi kemudahan kepada warga UKM dan juga masyarakat sekitarnya dalam melakukan pemeriksaan kenderaan.

“Kita menganggarkan sebanyak 80 kenderaan dapat diperiksa sepanjang tempoh program ini dilakukan, melebihi jumlah tahun lepas iaitu kira-kira 50 buah,” katanya pada Program Jom Selamat Sambut Perayaan Pemeriksaan Kenderaan (Persendirian) Percuma Usahasama Peka Keselamatan: ROSH-UKM dan Puspakom, di Dataran Panggung Seni di sini baru-baru ini.

Beliau berkata, warga UKM dan masyarakat sekitarnya boleh membawa kenderaan masing-masing ke Dataran Panggung Seni dan pihak PUSPAKOM akan melakukan pemeriksaan terhadap kenderaan itu.

“Program ini bertujuan bagi memastikan kenderaan yang digunakan berada dalam keadaan bersedia dan para pengguna dapat pulang ke kampung halaman sempena Sambutan Tahun Baru Cina dengan selamat.

Antara pemeriksaan yang dijalankan ialah pemeriksaan keempat-empat tayar, cermin sisi dan cermin memandu, bahagian dalam enjin dan cukai jalan.