SDAR Menang Pertandingan Akhir Wind Orchestra 2016 di UKM

1
Oleh Asmahanim Amir
Foto Oleh Abd Raai Osman

BANGI, 9 Ogos 2016 – Sekolah Datuk Abdul Razak (SDAR), Negeri Sembilan telah diumumkan sebagai juara bagi Pertandingan Akhir Wind Orchestra Ke-18 sekolah berasrama penuh yang diadakan di Dewan Canselor Tun Abdul Razak, Universiti Kebangsaan Malaysia, baru-baru ini.

Dalam pertandingan akhir tersebut, SDAR telah menumpaskan empat sekolah lain iaitu Sekolah Alam Shah, Putrajaya (SAS), Sekolah Menengah Sains (SMS) Selangor, Kolej Melayu Kuala Kangsar, Perak (MCKK) dan SMS Machang, Kelantan.

Dengan kemenangan itu, SDAR telah merampas Piala Pusingan daripada MCKK, serta membawa pulang piala iringan, wang tunai RM5,000 dan sijil.

Tempat kedua telah disandang oleh SAS dan ketiga dirangkul oleh SMS Selangor.

Muhammad Zaid Mohd Saad, 17, dari SAS telah diumumkan sebagai Konduktor Terbaik. Beliau menerima wang tunai RM500, piala, sijil.

Muhammad Syafiq Sazali, 17, dari SDAR berkata ahli pasukannya telah memberikan komitmen baik sehingga sekolah mereka dinobatkan sebagai juara.

“Ini adalah kemenangan pertama kami untuk pertandingan ini. Ia adalah kejayaan yang sangat berharga kepada kami kerana sekolah kami telah beberapa kali ke pusingan akhir tetapi tidak berjaya,” katanya.

Beliau berkata pasukannya mengambil masa empat bulan untuk berlatih untuk pertandingan tersebut.

Sebanyak 21 sekolah berasrama penuh telah menyertai pertandingan tersebut yang diadakan selama tiga hari bermula 3 Ogos lepas. Antaranya ialah Sekolah Tuanku Abdul Rahman, Kolej Tunku Kurshiah, Sekolah Seri Puteri, SMS Kuching, SMS Tun Syed Sheh Shahabuddin dan Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim.

Pertandingan tersebut telah diadili oleh lima orang panel hakim yang diketuai oleh maestro muzik, Datuk Ramli MS.

Hadiah telah disampaikan oleh Presiden Persatuan Pancaragam Malaysia, Datuk Zulkifli Ishak.ukmnewsportal-bm

2

3