Sediakan Laluan Khas untuk Pelajar Pintar PERMATA – Datin Paduka Seri Rosmah Mansor


Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 20 Mac 2018 – Isteri Perdana Menteri, Datin Paduka Seri Rosmah Mansor meminta agar Pusat PERMATApintar Negara menyediakan laluan khas kepada pelajar pintar istimewa supaya mereka lebih beryakinan menjalani kehidupan di Pusat PERMATApintar Negara (PERMATApintar).

Pengarah PERMATApintar, Prof Dato’ Dr Noriah Mohd Ishak berkata, Datin Paduka Seri Rosmah sebagai Penaung Program PERMATA berharap supaya kanak-kanak pintar istimewa dapat belajar seperti kanak-kanak lain di Kolej PERMATApintar.

“Kita (Kolej PERMATApintar) telah menerima kanak-kanak istimewa yang pintar iaitu Izz Imil Shahrom, 6 tahun. Beliau adalah pelajar termuda di kolej ini.  Beliau mempunyai kebolehan luar biasa tahap kecerdasan intelektual (IQ) dalam menyelesaikan masalah Matematik dan Kimia dan  layak mengikuti pengajian di sini setelah lulus beberapa ujian yang dijalankan,” katanya semasa program lawatan Datin Paduka Seri Rosmah Mansor ke Pusat PERMATApintar Negara, baru-baru ini.

Beliau berkata, tidak mustahil terdapat ramai lagi kanak-kanak istimewa di negara ini, tetapi ibu bapa tiak tahu bagaimana cara menguruskan kanak-kanak tersebut.

“Seperti kes Izz Imil, ibu bapanya menghubungi saya dan bercerita tentang kelebihan yang ada pada kanak-kanak itu. Saya meminta mereka membawanya ke sini (PERMATApintar) untuk dibuat pemerhatian.  Selama tiga minggu beliau di sini dan kita dapati beliau memang sesuai untuk mengikuti pengajian di Kolej PERMATApintar walaupun umurnya baru enam tahun, tetapi tahap IQ beliau telah mencapai tahap IQ pelajar berumur 16 tahun,” jelasnya.

Katanya jika Kolej PERMATApintar tidak mengambil Izz Imil belajar di sini, negara akan kehilangan permata yang berharga.

“Untuk tahun ini, Izz Imil hanya menumpukan kepada subjek yang diminatinya iaitu Kimia dan Matematik. Kita akan tawarkan subjek-subjek lain secara berperingkat dan kiita tidak mahu beliau ‘terkejut’ kerana pembelajaran di sini agak panjang iaitu dari pukul 8 pagi hingga 4.30 petang.

“Jadi, ini adalah special track untuk Izz Imil sahaja sehingga kita rasa beliau sudah boleh berdikari,” katanya.

Sebelum itu, Penaung Program PERMATA, Datin Seri Rosmah Mansor telah bertemu dengan kanak-kanak berkenaan untuk meninjau perkembangan, proses pembelajaran dan hubungan dengan rakan-rakan berlainan usia.