Semangat Patriotik Dorong Presiden MUBARAK Selesaikan PhD


Oleh: Muhammad Zaim Badrul Hisham

Foto: Pusat Komunikasi Korporat UKM

BANGI, 28 Oktober 2017 –Melihat semangat patrotisme dan cinta akan negara yang luntur dalam kalangan belia telah mendorong Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (MUBARAK), Tan Sri Dr. Abdul Aziz Rahman menyelesaikan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Sosiologi Pendidikan di Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Meskipun berumur lingkungan 70-an, beliau dengan semangat cekal dan minat yang mendalam terhadap kajiannya telah dianugerahkan dua anugerah, iaitu Anugerah Tesis Cemerlang dan Anugerah Graduate on Time(G.O.T).

Kajian beliau berkaitan patrotisme dan toleransi kaum dalam kalangan belia telah mengesahkan  andaiannya bahawa tahap patrotisme di negara ini memerlukan pemantapan dari segala aspek.

“Melalui kajian saya kita dapati tahap patrotisme yang dicapai sekarang ini amat memerlukan pemantapan.

“Tambahan lagi, amalan mengikuti roh Rukun Negara sudah tidak jelas, jadi kurikulum sekolah perlu dibentuk semula bagi membolehkan kita memahami serta mengamalkan roh dan semangat Rukun Negara itu,” ujar beliau.

Selain itu, Abdul Aziz juga berhasrat ingin mencadangkan kepadapimpinan negara bagi menubuhkan Institut Rukun Negara agar kurikulum pusat pengajian diseluruh negara mencerminkan prinsip Rukun Negara.

“Rukun Negara kita amat hebat, ia menjadi teras kepada ideologi negara Malaysia untuk merapatkan semula kaum-kaum di Malaysia supaya mempunyai kekuatan yang bakal menentukan masa depan negara yang cemerlang,” tegasnya.

Sehingga kini,beliau masih aktif dalam aktiviti pembangunan belia, khususnya para mahasiswa melalui Program Parlimen Mahasiswa yang melibatkan hampir seluruh universiti-universiti diseluruh negara.