Seruan Bagi Penyelidikan Bersama UKM dan Universiti Mexico

02
Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Abd Ra’ai Osman

BANGI, 13 April 2015 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan universiti di Mexico digesa supaya melaksanakan penyelidikan bersama dalam pengeluaran makanan dan perlindungan alam sekitar di kedua-dua negara, termasuk kemungkinan menghasilkan makanan halal di Mexico untuk pasaran Amerika Utara.

Duta Mexico ke Malaysia Carlos Felix Corona berkata mereka mampu  melakukan penyelidikan bersama dalam bidang pertanian dan warisan alam  kedua-dua negara.

Corona mencadangkan agar kedua-dua pihak tidak hanya setakat  melakukan pertukaran pelajar dan ahli akademik, tetapi  mempertimbangkan kerjasama penyelidikan dalam pelbagai bidang kepentingan bersama, termasuk teknologi automotif.

Beliau berkata demikian kepada Portal Berita UKM selepas sidang akhbar pada majlis pelancaran buku Mexico dan Malaysia; Meraikan 40 Tahun  Persahabatan dan panel perbincangan bertajuk ‘Perhubungan Mexico Malaysia Masa Kini dan Masa Depan; Peluang dan Cabaran’ di sini hari ini.

Menurut beliau hakikatnya perdagangan Mexico dengan Asia Tenggara sudah melebihi hubungan perdagangan dengan Eropah dan ini patut  menggalakkan Malaysia untuk melabur di negara Amerika Tengah tersebut.

Buat masa ini, Mexico mengimport komponen elektrik dan elektronik daripada pengeluar asing yang berpangkalan di Malaysia.

“Sembilan daripada sepuluh peri TV yang dijual di Amerika dihasilkan di Mexico dengan banyak komponen yang datang dari Malaysia.

“Ekonomi Mexico salah satu daripada ekonomi yang paling terbuka di dunia. Syarikat-syarikat Malaysia perlu meneroka peluang-peluang itu, bukan sahaja elektrik dan elektronik,” beliau menggesa.

Corona menegaskan bahawa memandangkan Mexico juga merupakan negara pertanian, terdapat peluang penyelidikan bersama mengenai pengeluaran makanan untuk pasaran Asia Tenggara, khasnya makanan yang mematuhi prinsip-prinsip Islam.

Beliau berkata kedua-dua negara mampu meningkatkan perdagangan   kepada ekonomi peralihan dan pengetahuan, bukan sahaja bahan-bahan mentah.

Acara ini dilancarkan oleh Ketua Setiausaha Kementerian  Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Dr Rebecca Fatima Santa Maria. Turut hadir Naib Canselor UKM Prof Dato’ Dr Noor Azlan Ghazali, Pengarah Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS) Prof Dr Rashila Ramli dan Ketua Pusat Pengajian Amerika Latin Prof Madya Dr Zarina Othman, antara lain.

01