Seruan Tokoh-Tokoh Lepasan UKM Menyokongnya

Call To Get Alumni To Endorse UKMOleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 11 Februari 2015 – Semua fakulti di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) perlu mengenal pasti sekurang-kurangnya lima tokoh atau personaliti ternama dalam sektor awam atau swasta yang sanggup menyokong universiti dalam pelbagai bidang kepakarannya.

Naib Canselor Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali berkata semua fakulti mempunyai alumni dan bekas pensyarah dan kakitangan yang menonjol dalam kerjaya mereka di luar dunia akademik yang boleh menolong war-warkan  UKM.

Melancarkan Karnival Novasi Pengajaran dan Pembelajaran di sini hari ini, Prof Noor Azlan berkata UKM perlu melihat luas di luar batasan tradisionalnya untuk memperkasakan citra universiti itu di dalam dan di luar negara.

Beliau menyarankan semua fakulti mengenal pasti 5 tokoh berkepentingan yang boleh menjamin kedudukan UKM. “Jika terdapat 5 orang tokoh (lepasan setiap fakultinya) dalam negara ini yang menyokongnya, kita tidak perlukan ranking universiti,” tambah beliau.

Kakitangan dari pelbagai perkhidmatan kerajaan termasuk badan berpakaian seragam yang menghadiri pelbagai kursus anjuran UKM telah memujinya kerana berjaya menyumbang kepada pembangunan negara.

“Jika perkhidmatan tadbir dan diplomatik dan polis terus menghantar kakitangan mereka ke mari untuk latihan, ini tentunya bermakna program kita adalah berguna kepada mereka. Kita perlu minta mereka menyebarkan keupayaan kita itu, ” katanya.

Naib Canselor berkata UKM tidak boleh terlalu bergantung kepada kedudukannya dalam senarai universiti dunia kerana kaedah kualitatif agensi antarabangsa itu tidak mencerminkan keadaan UKM sebenarnya.

Prof Noor Azlan juga menyeru supaya pengajaran dan pembelajaran di peringkat pasca ijazah disemak semula di mana para pensyarah perlu lebih kreatif serta memberi syarahan mereka secara lebih menarik.

Beliau berharap karnival pengajaran dan pembelajaran itu akan menghasilkan beberapa teknik baru yang boleh digunakan dengan jayanya.

Terdapat lapan bengkel yang diadakan selama 25 minit setiap satu pada karnival dua hari itu yang mana semua fakulti dan pusat kecemerlangan telah mengambil bahagian.

“Ramai di antara kita masih teragak-agak menggunakan teknik baru. Terdapat begitu banyak contoh terbaik di UKM. Bagaimanapun ramai orang – termasuk saya – terus terjebak dengan cara lama,” katanya.

Beliau juga mencadangkan Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan (GSB) mengurangkan tumpuan kepada buku-buku rujukan tetapi lebih kepada kajian kes.

“Mengapa tidak memeriksa urusan perniagaan sebenar dalam penyelidikan? Kaedah sedia ada tidak akan memenuhi keperluan industri,” tambah beliau.

K-Novasi pengajaran dan pembelajaran tahun ini menggantikan Kongres Pengajaran dan Pembelajaran UKM yang telah menjadi acara tahunan sejak 2009.
ukmnewsportal-bm