Alumni disaran Terus Sokong UKM


Oleh Nadia Sapuan
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 8 Mei 2017 – Alumni disaran untuk terus memberi sokongan dan sumbangan kepada  Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi memastikan UKM dapat bergerak menjadi sebuah institusi yang lebih baik.

Timbalan Naib Canselor Hal-Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof Dato’ Noor Aziah Mohd Awal berkata alumni perlu sentiasa melibatkan diri dengan aktiviti di UKM di samping memberi sokongan, sekurang-kurangnya melalui sedikit sumbangan bagi memastikan UKM terus bergerak maju.

“Alumni perlu mencontohi kisah Encik Nordin yang boleh memberi RM1 dalam menyumbang kepada penubuhan UKM pada tahun 1968 sedangkan beliau bukan alumni mahupun pelajar UKM.

“Oleh itu, saya tidak nampak kenapa orang yang telah mendapat manfaat dari UKM, terutamanya alumni, tidak boleh memberi sumbangan walaupun RM1 kepada tempat mereka menimba ilmu,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian dan Penyampaian Sumbangan Sempena Program Infrasiswa Majlis Pewakilan Pelajar UKM (PMUKM), baru-baru ini.

Sementara itu, Ketua Pengarah Program Infrasiswa, Muhammad Ariff Luqman Azmal berkata program infrasiswa merupakan sebuah program yang diinspirasikan daripada kisah Nordin yang menderma untuk membina sebuah menara gading demi kemajuan anak bangsa.

“Menerusi kisah Encik Nordin, kami mendapat inspirasi untuk memohon sumbangan daripada pihak alumni untuk menyumbangkan dana bagi pembelian dan pemasangan 13 buah set kerusi meja batu untuk diletakkan di setiap fakulti di UKM,” katanya.

Pada majlis itu, Dato’ Noor Aziah menyerahkan sumbangan 13 set kerusi meja batu kepada 13 fakulti UKM.

Turut hadir pada majlis tersebut adalah, Timbalan Naib Canselor Hal-Ehwal Penyelidikan dan Inovasi, Prof Dr Mohd Ekhwan Toriman dan Presiden PMUKM, Zainal Asnawi Asyraf Zainal Abiddin.