Sukarelawan Banjir UKM Hulurkan Bantuan Di Gua Musang

UKM Flood Relief Mission Assisted Four Villages And School In Gua MusangOleh Haslina Ramlee (Pelajar Pelatih UPM)
Foto Ikhwan Hashim (PKK) dan Ramzi Ilyas (SKLK)

GUA MUSANG, KELANTAN,  14 Januari 2015 – Seramai 200 orang sukarelawan banjir Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah selesai menolong penghuni empat buah kampung yang dilanda banjir teruk di sini minggu lalu.

Mereka telah menghulurkan bantuan serta menjalankan kerja-kerja pembersihan khususnya di Sekolah Kebangsaan Limau Kasturi (SKLK) yang mengalami kemusnahan hampir 80 peratus sebaik tiba di sini Jumaat lalu.

Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SKLK, Ramzi Ilyas memberitahu portal berita UKM di sini bahawa sesi persekolahan tetap akan bermula pada 11 Januari nanti walaupun menghadapi pelbagai kekurangan.

Ramzi berkata SKLK mempunyai 31 orang guru serta sekitar 260 orang murid bagi tahun 2015 ini. Ia adalah di antara sekolah yang terjejas teruk akibat banjir itu.

Seluruh kawasan sekolah termasuk pejabat guru, surau, kantin, stor dan sebagainya ditenggelami air.

Beliau berkata sekolah itu baru sahaja menerima buku teks serta 30 unit komputer baru daripada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) untuk kegunaan sesi persekolahan baru seminggu sebelum cuti sekolah. Malangnya semuanya telah rosak.

SKLK adalah di antara sekolah yang besar di daerah Gua Musang dan mempunyai banyak aset kerajaan termasuk makmal dan perabot. Turut musnah adalah fail guru, rekod dan maklumat pelajar serta segala yang berkaitan pembelajaran.

Bangunan asrama pelajar lelaki dan perempuan turut ranap dengan semua katil, tilam dan almari juga rosak ditenggelami air.

Beliau menganggarkan kerugian hampir RM2.5 juta. Bagaimanapun mereka bersyukur kerana bakal mendapat peruntukan daripada kementerian untuk membaik pulih sekolah.

Menceritakan pengalamannya, beliau berkata SKLK terletak berhampiran sungai tetapi itulah kali pertamanya ia dilanda banjir dengan paras air mencecah ke tingkat duanya.

Beliau bagaimanapun bersyukur semua pelajar tidak ada di sekolah ketika banjir berlaku.

“Tingkat tiga bangunan SKLK merupakan tempat yang paling tinggi di Kampung Limau Kasturi di mana seramai 150 orang penduduk sekitarnya menyelamatkan diri apabila air naik secara mendadak.

Mereka terdiri dari guru-guru dan guru besar serta penduduk kampung dan telah terperangkap berteduh di tingkat tiga bangunan selama dua hari menunggu bantuan yang lambat tiba ekoran kesukaran pihak penyelamat meredah air deras, kata Ramzi.

Beliau telah diamanahkan oleh Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Gua Musang untuk memantau keadaan semasa di sekolah berkata banyak lagi bantuan yang mereka perlukan untuk ‘melahirkan semula’ sekolah agar pelajar dan guru dapat meneruskan sesi pembelajaran seperti biasa.

Sesi persekolahan bermula tiga hari lalu pada hari Ahad tanpa muridnya mempunyai pakaian seragam selain ketiadaan buku teks.

ukmnewsportal-bm