Sukarelawan Temasya Kuala Lumpur 2017 Lahir Bakal Pemimpin


Oleh Nadia Sapuan
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 10 April 2017 – Pelajar yang terlibat sebagai sukarelawan Temasya Kuala Lumpur 2017 pada tahun ini berjaya membina keunikkan dan keistimewaan diri dan itu adalah pencapaian yang boleh dikategorikan sebagai payung merah yang menjadi impian pelajar UKM.

Naib Canselor UKM, Prof Dato’ Seri Dr Noor Azlan Ghazali berkata keistimewaan dan keunikan itu adalah satu proses dalam melahirkan bakal pemimpin pada masa hadapan.

“Untuk pengetahuan anda, peluang untuk menjadi sukarelawan Sukan SEA dan Sukan Para Asean tidak datang setiap tahun.

“Oleh itu, berbanggalah dengan diri anda kerana berjaya menjadi sukarelawan Temasya Kuala Lumpur 2017, sekaligus mewakili nama negara dan universiti kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan aluan pada Program Latihan Sukarelawan Temasya Kuala Lumpur di UKM bagi Kumpulan 21.

Seramai lebih 9,000 sukarelawan Sukan SEA dilatih oleh UKM yang terdiri daripada pelajar, kakitangan UKM serta pihak luar.

Turut hadir Timbalan Naib Canselor Hal-Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat, Prof Dato’ Dr Imran Ho Abdullah dan Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Prof Dr Mohd Ekhwan Toriman.