Sukarelawan UKM Berjaya Bantu Mangsa Banjir di Gua Musang

UKM Flood Volunteers Helped Evacuees From Four Villages In Gua MusangOleh Haslina Ramlee (Pelajar Pelatih UPM)
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 20 Januari 2015 –  Skuad Sukarelawan Banjir Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah berjaya membantu dan mengagihkan sumbangan kepada 80 peratus daripada penduduk yang terjejas banjir di empat buah kampung di daerah Gua Musang dengan anggaran nilai sebanyak RM50,000.

Gua Musang adalah di antara daerah paling teruk dilanda banjir itu.

Ketua Penolong Kanan Pendaftar UKM, Muhamad Walid Osman yang mengetuai rombongan itu berkata seramai kira-kira 200 orang sukarelawan UKM telah berjaya melaksanakan tiga tugas utama mereka; membersihkan Sekolah Kebangsaan Limau Kasturi, memberi rawatan perubatan dan nasihat kesihatan serta menyerahkan bantuan barangan keperluan kepada mangsa.

Beliau berkata rombongan pengagihan bantuan ke kawasan perkampungan itu disertai oleh Timbalan Naib Canselor (Hal- Ehwal Pelajar dan Alumni) Prof Datin Noor Aziah Mohd Awal yang turut menyerahkan bantuan kepada mangsa.

Berbagai barangan keperluan telah diagihkan termasuk makanan, lampin, selimut dan khemah. Bantuan itu telah diserahkan kepada penduduk Kg Star, Kg Stelu, Kg Batu 5 serta Kg Buah Pala.

Rata-ratanya ramai diantara mangsa di situ telah kehilangan rumah dan segala harta benda yang dihanyutkan arus deras ketika banjir berlaku.

“Selain pengagihan barangan keperluan, sukarelawan banjir UKM turut membersihkan Sekolah Kebangsaan Limau Kasturi (SKLK), antara sekolah yang mengalami kerosakan teruk.

Pihak sekolah menghargai jasa baik UKM yang telah membantu membersihkan sekolah supaya bersedia menerima murid apabila sesi baru persekolahan bermula.

“Fokus utama mereka adalah membersihkan bilik darjah, dewan makan, surau serta asrama puteri dan puteranya”.

Pasukan Pusat Perubatan UKM pula telah memberi bantuan perubatan dan kesihatan termasuk memberi ubat untuk mengelak jangkitan kuman selepas banjir kepada penduduk di Kampung Limau Kasturi, kata Walid kepada portal berita UKM.

Skuad sukarelawan UKM pada keseluruhannya telah berjaya mengenalpasti mangsa yang amat memerlukan bantuan.
ukmnewsportal-bm