Tapak Jualan Baharu Karnival Dapat Sambutan

01
Oleh Nur Syazwani Kamaruddin ( Pelajar FSSK )
Foto PKK

BANGI, 2 November 2015 – Karnival Konvokesyen Universiti Kebangsaan Malaysia tahun ini berlangsung di perkarangan Panggung Seni UKM berbeza pada tahun-tahun terdahulu yang diadakan di Dataran Gemilang, UKM.

Tapak ini dipilih kerana ia lebih strategik dan menjadi kawasan tumpuan sepanjang konvokesyen ini berlangsung, kata Timbalan Pengarah karnival tahun ini, Nurhanisah Mariah Othman.

“Kami mengambil langkah penyelesaian daripada masalah yang berlaku pada tahun-tahun lalu iaitu karnival kurang mendapat sambutan daripada para pelajar dan ibu bapa yang hadir kerana tapak karnival yang agak jauh. Dengan mengadakannya berhampiran dengan Dewan Canselor Tunku Abdul Razak DECTAR ini, ia menarik perhatian bukan sahaja kalangan warga kampus tetapi juga orang luar yang melalui kawasan jalan utama diluar UKM.

“Pihak kami mendapat maklum balas yang baik mengenai perubahan tapak karnival daripada peniaga-peniaga dan pengunjung yang hadir”, beliau menerangkan.

Menurut beliau rata-rata peniaga-peniaga di karnival kali ini berpuas hati dengan sambutan meriah dan pengunjung yang ramai.

Antaranya Muhammad Zamani, 37, yang berniaga air minuman berkata, “Karnival Konvokesyen ini sangat meriah dan perubahan tapak pada tahun ini menggalakkan orang ramai senang untuk berkunjung ke gerai-gerai kami berbanding tahun-tahun lalu”.

Zamani yang juga berpengalaman berniaga di Karnival Konvokesyen UKM selama tiga tahun berpendapat bahawa sambutan pada tahun ini sangat luar biasa dan peniaga cukup berpuas hati.

Nabila Mostaffa Kamal, pelajar tahun tiga berkata, “Saya berkesempatan untuk mengunjungi karnival tahun ini kerana lebih dekat dengan kolej kediaman. Kalau nak dibandingkan dengan tahun lepas, saya terpaksa berjalan kaki menaiki kawasan berbukit untuk ke Dataran Gemilang”.

Bagi seorang lagi pengunjung Anis Zulaikha Sazali, pelajar tahun 3 Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, “Kepelbagaian variasi gerai-gerai yang ada pada tahun ini mencukupi walaupun bilangan gerai tidak sebanyak seperti tahun-tahun lalu. Walau bagaimanapun, harganya sedikit mahal berbanding tahun lalu”.

Karnival Konvokesyen UKM 2015 menyediakan 54 tapak gerai iaitu 19 tapak gerai bunga, 7 tapak gerai makanan dan lain-lain gerai sebanyak 28 tapak, yang dubuka setiap hari mulai jam 7 pagi hingga 12 malam sepanjang perayaan.

Karnival ini berlangsung selama lima hari bermula pada 29 Oktober sehingga 3 November 2015.ukmnewsportal-bm
02

03

04