Tema Persandingan Disajikan Pada Acara Cemerlang Kolej Ungku Omar


Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Abd Ra’ai Osman

BANGI, 1 Jun 2015 – Kolej Kediaman Ungku Omar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melangsungkan Malam Apresiasi Cemerlang 2015 (MAC15) yang bertemakan adat istiadat Persandingan Melayu.

Ia dirasmikan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed di sini pada 30 Mei lepas.

MAC15 merupakan majlis yang diadakan bagi menghargai para penghuni Kolej Ungku Omar dan memperkenalkan kepada umum aktiviti kolej.

Antara tetamu terhormat yang menghiaskan MAC15 ialah Naib Canselor Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal pelajar dan Alumni) Datin Dr Noor Aziah Mohd Awal dan Pengetua KUO Nik Hairi Omar serta timbalannya Jamalul lail Abd Wahab.

Dalam ucapannya melancar majlis ini, Mustapa berkata budaya dan seni mencerminkan kreativiti mahasiswa dan beliau memuji pelajar-pelajar kerana berjaya menganjurkan acara tersebut.

Beliau menyarankan supaya pelajar-pelajar menggunakan daya saing mereka untuk menghadapi cabaran masa akan datang.

Penonton turut dihiburkan dengan persembahan tarian kebudayaan dan para penyanyi.

Pelajar Kolej Ungku Omar aktif dalam pelbagai bidang dan sering meraih kejayaan dalam bidang akademik, sukan dan kebudayaan. Sekretariat JAKSA dan kelab-kelab yang ditubuhkan menjadi pelantar bagi pelajar Kolej Ungku Omar menyerlahkan bakat-bakat mereka.

Batu asas Kolej Ungku Omar diletakkan pada 23 Jun 1976 dan siap pada 7 Januari 1978 dengan keluasan 220 kaki persegi. KUO mempunyai empat blok asrama, 23 blok pangsa siswa dan tiga blok pangsarama yang mampu menempatkan seramai 1024 orang penghuni. Dengan akronim KUO, kolej ini dinamakan sempena seorang tokoh perubatan negara – Allahyarham Prof. Dato’ Dr. Ungku Omar bin Ahmad.