Terengganu Mempunyai Muzium Maya Pertama Negara

01
Oleh Radzuan Ghazali
Foto Izwan Azman

KUALA TERENGGANU, TERENGGANU, 3 Feb 2016 – Terengganu kini mempunyai muzium maya pertama negara hasil kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan Lembaga Muzium Negeri Terengganu (LMNT) yang mempamerkan imej artifak secara tiga dimensi untuk Sisitem Muzim Maya (SMM) yang boleh dilihat secara talian.

SSM tersebut merangkumi lapan galeri mempamerkan 400 daripada 33,000 artifak dalam bentuk digital secara Tiga Dimensi yang dapat dipamerkan pada laman sesawangnya di http://www.ftsm.ukm.my/museummaya.

Pemuliharaan warisan sejarah dan budaya berteraskan teknologi maklumat dan  komunikasi dilakukan sejak hampir dua tahun lalu oleh  Kumpulan Penyelidikan Multimedia dan Kebolehgunaan, Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat.

Pelancaran Sistem Muzium Maya tersebut disempurnakan oleh  Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman yang mewakili Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad  Razif Abdul Rahman di sini pada 1 Februari lalu.

Turut dirasmikan Simposium Teknologi Maklumat bertemakan Kelestarian Warisan Budaya Melalui ICT, kedua-duanya anjuran FTSM dengan kerjasama LMNT.

Terdahulu itu, Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) UKM  Prof Datuk Dr Imran Ho Abdullah dalam ucapannya berkata, Memorandum Perjanjian yang ditandangani dengan LMNT pada tahun 2014 merupakan satu catatan sejarah bukan sahaja untuk negara, malahan rantau ini.

“Saya berharap sistem ini akan menjadi satu sejarah kerjasama di antara UKM dan LMNT untuk menjadi institusi yang menerajui pembangunan muzium maya bukan sahaja pertama di negara ini tetapi juga di Asia Tenggara”, katanya.

Beliau berkata, projek yang dibiayai oleh Geran Universiti Pendidikan berjumlah RM210,000, melestarikan kandungan khazanah warisan budaya bangsa melalui pemuliharaan artifak yang dipamerkan secara digital dalam galeri dan disimpan dalam stor.

Katanya lagi hasil proses dan kerjasama penyelidikan UKM yang diwakili oleh kumpulan berkenaan mampu memberi manfaat dan impak besar kepada masyarakat setempat dan antarabangsa.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri merangkap Pengerusi LMNT, Datuk Osman Muda, Pengarah LMNT Mohd Yusof Abdullah, Timbalan Dekan FTSM Prof Dr Azuraliza Abu Bakar dan Pengerusi Simposium, Dr Tengku Siti Meriam Tengku Wok.

Dalam pada itu, Tengku Zaihan dalam ucapan rasmi beliau, menghargai segala kreativiti dan daya inovatif semua pihak dalam merealisasikan artifak 3 Dimensi untuk muzium maya ini.

Katanya, SSM dapat memberi manfaat kepada segenap lapisan masyarakat dalam menghayati sejarah ketamadunan bangsa serta pemangkin ke arah pembentukan jalinan pintar yang lebih luas merangkumi bidang-bidang tertentu di negeri ini.

“Saya yakin sistem ini akan membawa satu transformasi dalam capaian maklumat di negeri ini khususnya dan negara amnya”, jelas beliau.

Kini terdapat hanya dua muzium lain di dunia yang mempunyai kemudahan seperti yang dibangunkan di Kuala Terengganu.ukmnewsportal-bm
02

03

04