Tiga Pelajar UKM Wakili Malaysia ke Bali Asia International Model United Nations 2019


Oleh Dzvuriyah Velayit Hussein

BANGI, 3 April 2019 – Tiga pelajar dari Fakulti Undang-Undang, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah mewakili Malaysia ke simulasi United Nations, Bali Asia International Model United Nations (BAIMUN) di Bali, Indonesia baru-baru ini.

Ketiga-tiga mereka ialah Raymond Teoh Chwan Lip, Vatchira Wong Rui Fern dan Dzvuriyah Velayit Hussein.

Pada pertandingan tersebut, Dzvuriyah Velayit Hussein telah berjaya meraih anugerah Best Outstanding Delegate bagi badan Food and Agriculture Organisation (FAO), manakala Raymond Teoh Chwan Lip menerima dua anugerah iaitu Best Delegate dan juga Best Position Paper.

Program yang berlangsung selama empat hari bermula 22 hingga 25 Mac lepas yang bertemakan The World’s Future in Your Hands telah mengumpulkan seramai 462 deligasi dari seluruh dunia.

Sepanjang program itu berlangsung, para deligasi berdiplomasi, berbincang dan bermesyuarat seakan-akan mesyuarat sebenar United Nations bagi membincangkan isu-isu dunia.

Program BAIMUN adalah suatu program yang membincangkan isu antarabangsa yang menjadi perhatian United Nations.

Antara badan United Nations yang digambarkan dalam pertandingan tersebut ialah World Health Organisation (WHO), International Monetary Fund (IMF), The World Tourism Organisation (UNWTO), the United Nations Educational, Scientific and Cultural Organisation (UNESCO), International Maritime Organisation (IMO) dan FAO.