TNC UKM Kecam Dakwaan Tinjauan ‘Pelajar Lapar’

001
Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Izwan Azman

BANGI, 11 Jan 2016 – Gambaran yang diberi oleh laporan akhbar mengenai pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang kononnya ‘ikat perut’ kerana  kesempitan wang adalah kurang tepat dan fakta-fakta diputarbelitkan, kata Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pelajar, UKM, Prof Datuk Noor Aziah Mohd Awal.

Kata Prof Noor Aziah, dari siasatan pihak Hal Ehwal Pelajar, kedua-dua pelajar mengalami masalah kewangan kerana tidak pandai mengurus kewangan mereka kerana mereka mendapat jumlah yang sama dengan pelajar yang lain.

Beliau mempertikaikan laporan tersebut dan mempersoalkan kesahihan pendapat tinjauan yang mendakwa sesetengah pelajar universiti tidak mendapat makanan cukup atau kelaparan di kampus kerana hakikatnya adalah sangat berbeza daripada dakwaan itu.

“Saya sudah berjumpa kedua-dua pelajar terbabit untuk memastikan kebajikan mereka terbela. Mereka mengaku memberi maklumat kepada pemberita berniat memburukkan nama UKM.

 “Pelajar-pelajar yang terbabit tidak dalam keadaan seburuk yang dilaporkan dan mereka menyesali mengeluarkan kata-kata tersebut kepada wartawan. Nasib pelajar UKM yang menghadapi kesulitan wang  sentiasa dibela oleh pelbagai pihak kebajikan dalam kampus serta agensi kerajaan,” beliau memberitahu satu sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Prof Datuk Noor Aziah,  apabila beliau tanya seorang daripada pelajar itu, yang namanya Nur,  mengenai kenyataan mengenai ‘usus tercedera’ seperti dilaporkan dalam akhbar, pelajar dari Sandakan itu menjawab dia bermaksud sejarah keluarganya, bukan pengalaman di UKM.

Katanya dua pelajar tahun pertama terbabit yang mengadu lapar sebenarnya menerima sejumlah wang bantuan yang mencukupi daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) atau badan-badan lain, tetapi mereka menghantar sebahagian duit tersebut ke ibu bapa untuk membantu keluarga.

“Untuk makluman, UKM sudah lama mewujudkan Unit Kebajikan Pelajar di bawah Pusat Khidmat Siswa bagi menjaga kebajikan semua pelajar UKM dengan pelbagai bantuan kewangan diberikan.

Beliau memberitahu ada sesetengah pelajar yang mengalami masalah kewangan mengaku tidak pandai mengurus kewangan selain terpaksa menyara keluarga di kampung.

“Kita ingin tegaskan, pelajar yang mengalami masalah kewangan akan dibantu oleh UKM, manakala bagi keluarga mereka perlu mendapatkan bantuan daripada Lembaga Zakat di negeri masing-masing.

“Malah, menerusi Unit Kebajikan Pelajar, bantuan kewangan yang diberikan adalah jika berlaku kematian pelajar, wang akan dibayar kepada waris. Kematian waris seperti ibu atau bapa turut akan dibayar kepada pelajar. Bil  rawatan kesihatan, kes khas seperti kehilangan wang, komputer dan motosikal serta pelajar kesempitan hidup juga diberi bantuan.

“Hasil siasatan Hal Ehwal Pelajar UKM, kedua-dua pelajar berkenaan adalah penerima pinjaman PTPTN, malah pelajar dari Sandakan sudah menerima bantuan Unit Kebajikan pada awal Oktober 2015 sebanyak RM100 dan dari kolej kediaman tempat tinggalnya sebanyak RM350.

“Pelajar kedua dari Negeri Sembilan tidak membuat sebarang aduan kepada Unit Kebajikan dan mengaku mengalami masalah kewangan kerana tidak pandai mengurus kewangan mereka,” beliau menegaskan.

Selain menimbulkan keraguan terhadap dakwaan itu, beliau menimbulkan persoalan mengenai pelaksanaan bantuan Food For Mahasiswa oleh seorang alumni UKM yang bekerjasama dengan badan-badan Bukan kerajaan (NGO) mendirikan dapur jalanan.

Menurut beliau pada asalnya ia bertujuan memberi makanan percuma kepada pelajar yang benar-benar daif.

“Tetapi kini kita boleh lihat dari gambar-gambar dalam akhbar yang menunjukkan ramai mahasiswa-siswi yang beratur senyum dan tidak kelihatan dalam kesusahan.

“Saya tahu sebagai mantan ketua Kolej dan kini Timbalan Naib Canselor bahawa pelajar yang benar-benar memerlukan bantuan tidak kelihatan bangga apabila beratur menunggu makanan percuma. Mereka menyembunyikan muka mereka apabila tiba jurugambar untuk mengambil gambar mereka.

“Kalau ditawarkan makanan free, siapa tak hendak. Tunggu dan sabar beratur dan mereka yang tidak layak pun boleh dapat makan percuma,” katanya.

Beliau mengarahkan siasatan terhadap Food For Mahasiswa kerana ada pihak NGO yang belum dikenali menimbulkan syak wasangka di kalangan pengurusan universiti kerana menggunakan alumni UKM untuk mendapat bantuan kewangan.

Namun demikian Food For Mahasiswa masih menerima dana RM10,000 sebulan daripada Pusat Zakat UKM dan beberapa restoran di sekitar Bandar Baru Bangi, tambah beliau.ukmnewsportal-bm