Transdisiplin Hubungkan Sains dan Masyarakat


Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan hashim

BANGI, 27 Januari 2017 – Transdisiplin, yang merupakan pendekatan kajian yang menyelidik mengenai isu dalam masyarakat daripada kolaborasi interdisiplin serta kolaborasi bersama para penyelidik dan saintis, adalah penghubung antara sains dan masyarakat.

Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat, Prof. Dato’ Dr. Imran Ho Abdullah berkata   integrasi adalah asas utama dalam proses penyelidikan transdisiplin.

“Transdisiplin dan kelestarian pendidikan memberi ruang yang amat luas untuk setiap daripada bidang ilmu dalam kluster berbeza untuk sama-sama saling bertindak dalam menyelesaikan masalah harian masyarakat.

“Penyelidik digalakkan untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai ahli masyarakat yang mana para penyelidik perlu memainkan peranan dan menyumbang ilmu kepakaran bagi meningkatkan kesejahteraan masyarakat setempat amnya dan penuntut serta pelajar sekolah khususnya,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Seminar Transdisiplin (STEd) 2017 di sini baru-baru ini.

Katanya beliau yakin dengan usaha dan kerjasama erat setiap penyelidik dapat membantu meningkatkan kefahaman para pelajar dan masyarakat terhadap amalan dan pendekatan transdisiplin ke arah kelestarian pendidikan.

Prof Dato’ Dr Imran Ho berkata seminar yang diadakan itu mampu melonjakkan nama UKM sebagai sebuah universiti pelopor dalam usaha meningkatkan kualiti penyelidikan dan pendidikan berteraskan pendekatan transdisiplin.

Beliau berkata UKM berharap agar penganjuran STEd2017 dapat membantu ke arah usaha menyumbang kepakaran masyarakat dalam mentranslasikan ilmu disiplin sebagai salah satu metod baru penyelesaian masalah sejagat.

“Saya menyeru kepada semua peserta seminar agar terus berkolaborasi, berkongsi ilmu dan maklumat kerana ia dapat memberi nilai tambah kepada sistem pendidikan di Malaysia supaya dapat melahirkan generasi muda dan penggerak masa hadapan yang berketerampilan dalam semua aspek di samping membentuk dan meningkatkan soft skill.

“Marilah sama-sama kita memartabatkan dan mempraktikkan kaedah transdisiplin dalam aspek pengajaran dan penyelidikan kita,” ujarnya.