Tun Ahmad Sarji Serah Koleksi Peribadi Kepada UKM


Oleh Asmahanim Amir
Foto Shahiddan Saidi

KUALA LUMPUR, 27 Dis 2017 – Pro Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Tun Ahmad Sarji menyerahkan koleksi peribadi kepada UKM untuk simpanan dan rujukan masyarakat umum.

Koleksi peribadi itu merupakan surat-surat, minit mesyuarat, cenderahati, gambar-gambar bersejarah, poster dan cakera padat yang diterima oleh beliau sepanjang beliau berkhidmat dengan kerajaan dan sektor korporat sejak 55 tahun lepas.

Tun Ahmad Sarji berkata, beliau memilih UKM untuk menempatkan koleksi-koleksi beliau kerana UKM adalah sebuah institusi yang menghargai warisan.

“Selain dari Arkib Negara dan Perpustakaan Negara yang telah menempatkan koleksi saya, saya memilih UKM kerana arah tuju UKM begitu menarik sekali.

“UKM adalah sebuah universiti yang ulung dan saya lihat bahawa mereka (UKM) menghargai warisan.

“Bila UKM menghargai warisan dan peninggalan, ia merupakan satu pengiktirafan kepada peradaban dunia,” jelasnya semasa Majlis Penyerahan Koleksi Tun Ahmad Sarji, di Pejabat Professional Golf of Malaysia, di sini baru-baru ini.

Beliau berkata koleksi tersebut kelak akan memberi manfaat dan rujukan kepada masyarakat umum.

“Sudah tiba masanya saya memulangkan semula kepada masyarakat semua koleksi yang saya ada sepanjang perkhidmatan saya.

“Seboleh-bolehnya, di akhir hayat saya tidak ada satu pun peninggalan yang tersimpan di rumah saya dan tidak dapat memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat, Prof Dato’ Dr Imran Ho Abdullah berkata dengan adanya koleksi Tun Ahmad Sarji, ia telah menambah koleksi-koleksi yang sedia ada di UKM.

“Sumbangan koleksi Tun Ahmad Sarji ini amat berharga sekali kerana  mempunyai signifikan sejarah yang bukan sahaja dari satu aspek iaitu kepimpinan pentadbiran awam, tetapi juga dari segi korporat, seni dan warisan, keagamaan, masyarat dan juga sukan.

“Jadi kita amat menghargai sumbangan dan kepercayaan yang Tun berikan kepada UKM untuk menjadi tempat pameran koleksi Tun Ahmad Sarji,” katanya.